BALING: Suhu panas mencecah 36 darjah Celsius di sesetengah kawasan menyebabkan orang ramai memilih aktiviti perkelahan di sungai bersama keluarga sempena cuti sekolah.
Antara kawasan perkelahan di daerah ini yang sering menjadi tumpuan adalah sepanjang Sungai Ketil di Kampung Lubuk Pedati, Kampung Pantai, Kampung Paya dan Kampung Sungai Limau.
Seorang pengunjung dari Pulau Pinang, Mohd. Razif Abdullah, 52, berkata, cuaca di kawasannya agak panas kerana berdekatan laut membuatkan dia sekeluarga beralih ke kawasan berbukit untuk beriadah dan berehat.
“Saya mencari di internet tempat-tempat menarik untuk beriadah terutama yang ada sungai dan kami menemui tempat ini yang cantik, tenang, sejuk dan penuh kehijauan.
“Paling penting, ada sungai yang airnya sejuk untuk anak-anak mandi dan bermain,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Pedati di sini, semalam.
Pengunjung dari Pendang, Shafiza Md. Noh, 41, pula memberitahu, dia juga mengetahui kewujudan lokasi itu menerusi media sosial.
“Pertama kali datang ke sini, kami sudah jatuh cinta melihat keindahan Gunung Baling dan di kaki gunungnya ada sungai yang airnya mengalir tenang dan jernih sesuai untuk anak-anak mandi terutama musim panas ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Syarafuddin Mohd. Yusof, 37, dari Alor Setar berkata, lokasi tersebut memang sesuai untuk aktiviti riadah bersama ahli keluarga kerana keadaannya yang selamat dan bersih.
“Tempat ini luas dan sentiasa dijaga oleh penduduk kampung. Selain berkelah, penduduk juga menyediakan kayak dan pelampung untuk bermain air, selain ada aktiviti panjat Gunung Baling dan Gunung Pulai serta menjelajah gua-gua yang unik di kaki gunung,” katanya. – UTUSAN











