KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Wahab Deep, 44, menggesa kerajaan mengambil tindakan tehadap pihak tidak bertanggungjawab yang memfitnah dia dan bekas suami yang juga komposer terkenal, Ajai, 48, menerusi satu artikel yang tular baru-baru ini.
Jelas Nourul atau nama sebenar, Noorulhuda Abdul Wahab, keadaan yang turut menimpa ramai selebriti termasuk penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, perlu segera dibendung kerana mendatangkan kemudaratan dan memburukkan keadaan.
“Keadaan ini (yang dinyatakan dalam artikel tersebut) tidak berlaku. Apa yang menyakitkan hati, individu terbabit turut memadam cincin perkahwinan yang saya sarungkan pada jari sebelah kiri dalam gambar (yang dikepilkan bersama artikel tersebut). Ini perkara kecil, tetapi membawa masalah besar.
“Saya mohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ambil tindakan. Orang seperti ini tidak layak menggunakan media sosial kerana mereka menyebarkan fitnah. Jadi saya mohon kerajaan Malaysia ambil tindakan, kerana ramai yang ‘kena’, termasuk Siti Nurhaliza. Bukan saya seorang,” gesanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram, baru-baru ini.
Artikel berkenaan yang dimuat naik pada sebuah akaun Facebook, antara lain menyatakan Ajai berjumpa Nurul untuk memujuk bekas isterinya itu selain mengepilkan gambar penyanyi tersebut tanpa menyarungkan cincin perkahwinannya.
Dalam pada itu, Nourul juga kesal apabila berita palsu tersebut digunakan sebagai ‘umpan’ untuk memujuk pembaca melayar laman-laman sesawang beli belah dalam talian.
“Banyak ‘page’ begini, yang membuat tajuk-tajuk (artikel) sebegini, menggunakan selebriti dan ahli politik untuk memancing pembaca melayari laman web perniagaan mereka.
“Ini bukan langkah yang betul untuk berniaga, menggunakan ‘kapsyen’ hangat lagi tidak benar,” luahnya lagi.