Mungkin saya ini hanya artis pertandingan - Utusan Malaysia

Mungkin saya ini hanya artis pertandingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BILA nak sertai Gegar Vaganza (GV)  pula?

Itu antara soalan yang acap kali diterima penyanyi bersuara emas, Salma Asis. Mahu atau tidak, hakikatnya dia sememangnya antara nama yang ditunggu menyertai program realiti popular itu.

Bakat nyanyiannya tidak seharusnya menjadi perdebatan, namun sehingga sekarang dia masih sukar melepasi tembok populariti yang sekian lama cuba ditembusi.

Malah ada juga yang beranggapan dia hanyalah artis pertandingan. Popular sekadar apabila sesebuah program realiti sedang berlangsung. Bermula dari Mentor dan yang terakhir, 3 Juara.

“Ikutkan hati, memang saya teringin sangat untuk sertai GV. Tipu sangat kalau saya cakap tak mahu atau belum bersedia. Cuma peluang dan ruang itu belum ada.

“Rindu sangat nak buat persembahan di luar kotak dan kebiasaan. Kalau pertandingan, memang saya akan all-out. Tak main-main. Itu yang saya paling rindu.

“Tetapi bila selalu masuk pertandingan, kadang-kadang ada fikiran jahat menganggu. Saya ini mungkin hanya artis pertandingan. Sekadar dikenali kerana program realiti,”ujarnya.

TOLAK KONTROVERSI

Lantas soalan lain mula diaju. Jika populariti adalah ‘trofi’ yang mahu digenggam, mengapa tidak dia wujudkan sahaja kontroversi yang sekarang menjadi modus operandi ramai selebriti.

Apakah dia tidak sanggup untuk sengaja mencipta gimik demi publisiti murahan? Sedangkan itu adalah cara terpantas dan paling mudah untuk meraih perhatian warganet?

“Mungkin gimik dan kontroversi itu bukan untuk saya. Pernah juga terfikir, kenapa lambat sangat nak popular dalam industri seni ini? Kenapa susah orang nak lihat saya?

“Tipu juga kalau saya tak terfikir untuk cipta kontroversi. Tetapi bila ingat anak-anak, tak sanggup saya untuk buat semua itu. Nama baik kena jaga, tak boleh biarkan busuk,”katanya.

Mengakui takut dengan kecaman netizen, penyanyi Akhirnya Cinta ini juga risau jika anak-anaknya menjadi mangsa buli dan ejekan gara-gara keghairahannya untuk mengejar populariti.

“Dulu pernah saya nak cuba keluarkan lagu dangdut. Nak bergelek atas pentas. Tetapi apa pula kata anak saya. Takut dia kena ejek disebabkan gelekan saya.

“Sudah 12 tahun, jalan hidup saya sebagai penyanyi masih sama. Saya cuba positif tetapi kadang-kadang ada juga rasa nak putus asa. Bukan satu lagu saya keluarkan, sudah lebih 10.

“Saya mahu elakkan menjadi mangsa kecaman terutama di usia ini. Takkan saya terdesak sampai sanggup burukkan nama baik sendiri. Banyak kali saya fikir,”kongsinya.

CUBA PENGURUSAN BAHARU

Berkongsi perkembangan seni baharunya, ibu kepada empat orang anak ini bakal merancang untuk menghasilkan sebuah album mini di bawah pengurusan baharu, CQ Music.

Album yang bakal memuatkan enam lagu termasuk beberapa lagu baharu itu juga merupakan bukti keseriusan dan kesanggupannya untuk terus berada dalam radar seni tempatan.

“Banyak lagi lagu saya akan lancarkan. Terbaharu, Yang Kau Minta. Lagu itu dilancarkan sebelum raya hari itu. Cuma saya belum buat promosi besar-besaran.

“Saya juga dalam pada masa sama sedang mengumpul material untuk album pertama saya. Teruja sebab akhirnya ada album sendiri. Sebagai penyanyi, itu adalah portfolio saya.

“Saya juga baru menandatangi kontrak pengurusan baharu bersama CQ Music. Saya mahu mencuba angin baharu selepas beberapa tahun di bawah pengurusan sama,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.