Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat: 'Drama' Ahli Parlimen bermula 

Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat: ‘Drama’ Ahli Parlimen bermula 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat bersidang selama 11 hari bermula hari ini sehingga 15 Jun depan. 

Antara yang menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini ialah isu jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan hasil daripada pelaburan langsung asing (FDI) sejak 2017 hingga 2022. 

Datuk Seri Johari Abdul Ghani [BN-Titiwangsa] dijangka bertanya soalan itu kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menerusi sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, pukul 10 pagi ini. 

Seterusnya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin [PN-Larut] dijangka bertanya soalan kepada Perdana Menteri, berkenaan dasar-dasar baharu dan drastik yang telah dilaksana sejak mentadbir negara bagi melonjakkan ekonomi mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia. 

Gobind Singh Deo [PH-Damansara] pula akan meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan inisiatif yang telah dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan dalam mempromosi perniagaan digital, dan langkah-langkah yang diambil oleh agensi berkaitan dalam membantu syarikat-syarikat tempatan di pasaran global. 

Selain itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] akan meminta Perdana Menteri menyatakan jika kerajaan bercadang menggubal Akta Pembelaan Awam bagi menyediakan perkhidmatan bantuan guaman membabitkan kes jenayah di negara ini, supaya rakyat yang kurang mampu turut mendapat akses kepada keadilan dan pembelaan sewajarnya. 

Pada permulaan urusan mesyuarat mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan untuk bacaan kali pertama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dijangka membentang RUU Insolvensi (Pindaan) 2023, diikuti Menteri Komunikasi dan Digital akan membentang RUU Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023. 

Selepas itu, bagi aturan urusan mesyuarat dan usul-usul, sebanyak empat RUU dijangka dibentang bagi bacaan kali kedua.

Menteri Dalam Negeri akan membentang RUU Pencetakan Teks Al-Quran, diikuti Perdana Menteri bagi RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023; RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 dan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023.

4 April lalu, persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 penuh warna-warni sekali gus melabuhkan tirainya selepas 31 hari bersidang. 

Mesyuarat ketika itu diwarnai dengan perangai ahli-ahli Parlimen yang sukar dijangka, sehingga menimbulkan kekecohan setiap kali berbahas atau memulakan celahan.

Mesyuarat ketika itu menyaksikan sebanyak 12 rang undang-undang diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022) 2023, Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

Pemerkasaan undang-undang terhadap pesalah jenayah kanak-kanak turut mendapat perhatian Dewan Rakyat, apabila Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 diluluskan.

Selain itu Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 turut diluluskan.

Dewan Rakyat juga meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN