Mekanik lumpuh kaki gigih cari rezeki keluarga - Utusan Malaysia

Mekanik lumpuh kaki gigih cari rezeki keluarga

BAHARUDIN Abu (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Muhammad Farid Hilmy Mohd. Nasir (berkerusi roda) di sebuah bengkel di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Biarpun lumpuh dua kaki akibat kemalangan, seorang bapa muda gigih menjadi mekanik demi mencari rezeki halal bagi menanggung kehidupan keluarga.

Lebih memilukan, Muhammad Farid Hilmy Mohd. Nasir, 21, berulang-alik hampir 40 kilometer dengan memandu kereta yang diubah suai dari Kepong ke bandar raya ini sejak dua bulan lalu.

Menceritakan detik hitam hidupnya, dia yang menunggang motosikal berlanggar dengan sebuah kereta di Sungai Buloh ketika mahu pulang ke rumah mentuanya pada 18 Januari 2021.

Kata Muhammad Farid, kemalangan itu mengakibatkan tulang dua paha, dada dan bahu patah manakala tulang belakangnya hancur.

“Kecederaan itu menyebabkan saya koma lebih dua bulan di Hospital Selayang dan tidak sempat menyambut kelahiran bayi pertama pada awal Mac tahun sama.

“Selepas selesai menjalani pembedahan tulang belakang, saya baru menyedari kedua-dua kaki lumpuh dan tidak boleh berjalan,” katanya sebak ketika ditemui di sebuah bengkel di Seksyen 7 di sini.

Terdahulu, dia yang berkerusi roda disantuni Presiden Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam (Al-Qalam), Datuk Seri Dr. Baharudin Abu yang menyalurkan sumbangan barangan keperluan.

Tambah Muhammad Farid, dia yang berstatus orang kurang upaya (OKU) dan masih menjalani rawatan hospital bersyu­kur kerana diberi peluang kedua untuk hidup.

“Saya juga berterima kasih kepada pemilik bengkel yang sanggup menawarkan kerja mekanik pada Mac lalu biarpun diri serba kekurangan. Peluang ini akan digunakan sebaik mungkin demi isteri dan anak perempuan saya yang berusia dua tahun,” jelas anak ke-10 daripada 12 beradik itu.

Sementara itu Baharudin berkata, pemeriksaan beliau mendapati Muhammad Farid mempunyai harapan untuk sembuh kerana sistem saraf uta­manya masih berfungsi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya