Malaysia tidak mustahil jadi negara pengeksport beras - Utusan Malaysia

Malaysia tidak mustahil jadi negara pengeksport beras

MOHAMAD Sabu membawa sendiri jentanam atau transplanter untuk menyemai anak padi dengan kaedah teknologi moden tersebut selepas meninjau program SMART SBB Mini Sekinchan MADA-Bernas di Kampung Lat 1,000, Simpang Empat, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Malaysia tidak mustahil menjadi antara negara pengeksport beras pada masa akan datang sekiranya hasil padi yang diusahakan di keseluruhan kawasan tanaman seluruh negara mampu mencapai tujuh sehingga 11 tan metrik bagi setiap keluasan satu hektar.

Malah, Malaysia juga mampu mencapai 100 peratus kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara jika penghasilan padi bagi setiap kawasan yang diusahakan itu mencapai tahap tersebut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran tersebut sememangnya menjadi azam beliau tanpa perlu menunggu puluhan tahun lagi.

Katanya, pada masa ini, negara terpaksa mengimport kira-kira 35 peratus lagi beras bagi menampung keperluan rakyat Malaysia.

Justeru katanya, inisiatif seperti program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang mampu meningkatkan hasil antara tujuh sehingga 11 tan metrik per hektar itu dapat diperluaskan lagi di seluruh negara dan mendapat kerjasama para pesawah.

“Kalau kita lihat hasil di Sekinchan menerusi program SMART SBB itu, mampu menghasilkan
tujuh sehingga 11 tan metrik per hektar sedangkan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pula hanya sekitar lima tan metrik.

“Saya berazam sungguh, bersama pegawai-pegawai agensi berkaitan yang lain supaya keluasan sawah padi yang kita ada ini dijaga dengan baik daripada segi pengairan, pembajaan, racun dan penanaman seperti ‘smart farming’ dengan penggunaan peralatan moden untuk meningkat kuantiti dan kualiti itu mampu membantu kita mencapai tahap SSL.

“Kalau kita mampu capai penghasilan tujuh sehingga 11 tan metrik per hektar di kawasan MADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) antaranya kita telah mencukupi keperluan beras negara. Kalau kita capai sasaran itu di MADA dan KADA, kita juga boleh menjadi pengeksport beras kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan dan meninjau program SMART SBB Mini Sekinchan MADA-Bernas di Kampung Lat 1,000, Simpang Empat di sini hari ini.

Mohamad juga mengambil kesempatan mencuba dengan membawa sendiri jentanam atau transplanter itu untuk menyemai anak padi dengan kaedah teknologi moden tersebut.

Sebagai rekod, SMART SBB mula diperkenalkan pada awal tahun 2021 dan merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan SSL beras negara.

Setakat ini, program tersebut telah dilaksanakan di kawasan seluas 11,000 hektar di seluruh negara membabitkan 4,000 pesawah dengan sasaran keseluruhan 240,000 pesawah dapat terlibat dengan program SMART SBB itu.

Sementara itu, Mohamad berkata, sudah tiba masanya para petani bekerja sepenuh masa termasuk menggunakan kaedah ‘smart farming’ ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya