Malaysia, Korea Selatan perkukuh kerjasama pertanian

Malaysia, Korea Selatan perkukuh kerjasama pertanian

MOHAMAD Sabu menerima kunjungan Chung Hwang-Keun di Putrajaya, semalam. MOHAMAD Sabu menerima kunjungan Chung Hwang-Keun di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Korea Selatan membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan serta berterusan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyatan memaklumkan, kedua-dua negara turut bersetuju mengukuhkan lagi kerjasama dengan mewujudkan Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertanian selaras Sambutan Ulangtahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur antara Malaysia dan Republik Korea yang diraikan pada tahun ini. 

Katanya, melalui perjanjian itu, kedua-dua negara bersetuju berkongsi pengetahuan, pengalaman, amalan terbaik dan peluang perniagaan serta cadangan kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan dan inovasi teknologi pertanian untuk menangani cabaran sektor pertanian.

“Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar, Republik Korea, Chung Hwang-Keun semalam di Putrajaya. Pertemuan ini adalah pertemuan pertama bagi kedua-dua pemimpin.

“Pertemuan antara kedua-dua pemimpin ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha kementerian dan pegawai-pegawai kanan serta Ketua Pengarah dan wakil dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Jabatan Pertanian,” katanya.

Kementerian itu memaklumkan, Republik Korea adalah rakan dagang Malaysia yang sentiasa bergiat aktif dalam memperkukuh hubungan perdagangan pertaniannya. 

“Bagi tempoh 2020 hingga 2022, nilai dagangan pertanian antara kedua-dua negara telah menunjukkan pencapaian yang progresif dan positif yang mana mencatat peningkatan sebanyak RM1.0 billion setiap tahun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN