Malaysia hargai Aras Saudi teruskan inisiatif Mecca Route

Malaysia hargai Arab Saudi teruskan inisiatif Mecca Route

ZAMBRY Abd Kadir mengadakan sesi lawatan ke kaunter Imigresen Arab Saudi di KLIA Terminal 1, Sepang- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia amat menghargai kesediaan Kerajaan Arab Saudi berterusan memilih Malaysia bagi inisiatif Mecca Route Service (MRS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, projek MRS itu adalah cerminan hubungan akrab dan istimewa Malaysia-Arab Saudi.

Beliau berkata, Malaysia merupakan antara salah satu daripada tujuh negara yang dipilih oleh Kerajaan Arab Saudi untuk operasi MRS ini.

“Alhamdulillah, melalui inisiatif ini, pengurusan bagi jemaah haji Malaysia dilihat menjadi lebih sistematik dan efektif, yang seterusnya akan membantu perjalanan jemaah Malaysia ke Mekah dan Madinah,” katanya.

Semalam, beliau berkesempatan menyaksikan sendiri pengoperasian kaunter khas MRS di KLIA dan menyantuni bakal jemaah haji Malaysia yang tiba dari Johor dan Terengganu melalui penerbangan feeder dan seterusnya akan berlepas ke Madinah pada tengah malam tadi.

MRS merupakan inisiatif Kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman, yang dilaksanakan sejak 2017.

Ia bertujuan mempermudahkan urusan jemaah Haji dan Umrah yang akan berlepas ke Tanah Suci diterajui bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Lembaga Tabung Haji dan Malaysia Airport Holding (MAHB).

Zambry berkata, pihak Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Malaysia di Arab Saudi termasuk Konsulat dan Malawakil di Riyadh, Jeddah, Mekah dan Madinah sentiasa bersedia untuk menerima mana-mana rakyat Malaysia yang mempunyai sebarang masalah atau perkara yang perlu dirujuk apabila berada di sana.

Pada masa sama, beliau menasihatkan jemaah haji Malaysia, sentiasa mengikut nasihat, bimbingan dan garis panduan semasa di Tanah Suci.

“Jaga kesihatan diri dengan baik, khususnya berikutan jangkaan peningkatan suhu dan cuaca yang semakin panas pada musim haji ini, supaya semua jemaah dapat mengerjakan ibadah wajib rukun Islam yang kelima ini dengan sempurna.

“Selamat menunaikan ibadah Haji kepada semua jemaah Malaysia. Didoakan semoga jemaah kita dilindungi dan dipermudahkan segala urusan serta diberkati dengan keberkatan Haji Mabrur,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya