KUALA SELANGOR: Bagi penduduk Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini, kejiranan Jalan Seri Pagi 7 (SP7) sentiasa menjadi tumpuan sejak taman perumahan itu dibangunkan pada tahun 2000.
Masakan tidak, saban tahun ada sahaja aktiviti kejiranan yang diadakan. Terbaharu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan Sabtu lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan juga kejiranan Jalan Seri Pagi.
Majlis yang bermula pukul 6 petang dan berakhir kira-kira lima jam kemudian itu menyajikan menu seperti lemang, nasi himpit, rendang ayam dan daging dendeng, ais krim selain menu kegemaran ramai kambing bakar.
Pendek kata, kira-kira 500 orang yang memenuhi lorong tengah SP7 berpuas hati dan tersenyum lebar dengan majlis yang diadakan secara gotong-royong itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Saujana Utama 1 (SUtRA1), Wan Ismail Hashim berkata, persiapan memasak bermula seawal pukul 8 pagi terutamanya nasi himpit dan juga rendang ayam.
Malah, katanya, kerja-kerja memasak sup untuk menu bihun sup dan soto ayam disediakan awal sejak tengah malam Jumaat.
“Selain sumbangan RM50 setiap rumah, kami membahagikan setiap lima rumah dalam satu kumpulan untuk menyediakan juadah secara potluck.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar berkat kerjasama dan pemuafakatan yang tidak pernah luntur sejak lebih 20 tahun kami menetap di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain menikmati pelbagai juadah, diselitkan sesi luahan rasa oleh beberapa penghuni lama dan baru yang rata-rata bersyukur kerana memiliki kejiranan yang mesra dan sentiasa sepakat.

Seorang penduduk, Norsham Mohd. Nor berkata, jalan SP7 sentiasa menjadi contoh kepada penghuni jalan-jalan lain kerana berjaya mengadakan banyak aktiviti kemasyarakatan dari semasa ke semasa.
“Sejak pindah ke sini pada tahun 2000, saya selalu melibatkan diri dengan aktiviti SP7 walaupun saya bukan tinggal di jalan ini.
“Memang diakui SP7 sentiasa menjadi tumpuan dan mendahului dalam program-program kemasyarakatan untuk manfaat bersama para penghuni SUtRA1,” katanya.

Majlis malam itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api shot cake selama kira-kira 50 saat sebelum kerja-kerja membersih dan mengemas yang dilakukan oleh kumpulan anak-anak muda. – UTUSAN