Waris 15 penuntut UPSI ditaja umrah

Waris 15 penuntut UPSI ditaja umrah

WARIS kepada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak menghadiri kursus umrah di Masjid Jabi, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Ahli keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak pada 9 Jun lalu menerima tajaan menunaikan ibadah umrah, bulan depan.

Pegawai Operasi Sinar Suci Travel dan Services Sdn. Bhd., Wan Muhamed Anwas Wan Abdullah berkata, inisiatif pembiayaan pakej umrah itu sebagai tanda keprihatinan dan mengurangkan sedikit kesedihan ahli keluarga yang baru kehilangan insan tersayang.

“Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan dan dijadual berangkat mengikut tarikh yang ditetapkan bermula 13 Julai ini. Setiap keluarga ditawarkan dua orang mengerjakan umrah ini, sama ada ibu bapa atau ahli keluarga yang lain,” katanya ketika ditemui di Jabi, di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Wan Muhamed Anwas, selain waris mangsa yang maut, pihaknya menaja dua sukarelawan yang terlibat secara langsung sepanjang proses membantu membawa pulang jenazah mangsa serta mereka yang tercedera dalam tragedi itu.

Sementara itu, seorang pene­rima pakej umrah, Maslihaizan Yahya, 50, iaitu bapa kepada Allahyarham Sufea Adela berkata, dia akan menunaikan umrah bersama isterinya, Zabidah Ibrahim, 49, dan percaya ada ‘hikmah’ di sebalik kesedihan dihadapi.

“Menjadi tetamu Allah adalah keinginan semua orang tetapi bagi saya ia adalah satu cara untuk saya dan isteri melepaskan rindu kepada Sufea Adela,” katanya.

Dalam kejadian pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di Gerik, 9 Jun lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV jenis Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini