IPOH: Kediaman keluarga mentua Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini musnah dalam kebakaran malam semalam, dipercayai berpunca daripada trip elektrik.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, ibu mentua Hamzah, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala suaminya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Anak kedua mangsa, Ahmad Ikhwan Abdul Ghani, 57, berkata adik bongsunya yang tinggal di rumah itu melihat asap tebal keluar dari bilik ibu mereka selepas berlaku gangguan elektrik secara tiba-tiba.
“Adik keluar rumah seketika untuk lihat keadaan jiran dan bila kembali masuk, dia nampak asap tebal keluar dari bilik mak. Bila buka pintu, bilik itu sudah penuh dengan asap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Menurut Ahmad Ikhwan, ibunya yang uzur dan terlantar akibat sakit tua mendiami bilik khas di tingkat bawah bersama seorang pembantu rumah yang menjaga secara sepenuh masa, manakala bapanya berada di tingkat atas semasa kejadian.
Katanya, pasukan bomba berjaya membawa bapanya keluar, namun dia mengalami sesak nafas dan kini ditidurkan untuk rawatan lanjut.
“Setakat jam 1.30 pagi semalam, ayah stabil dan kelihatan seperti tidur,” katanya.
Jenazah Allahyarham Salmiah disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya selepas solat Jumaat.
Pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kebakaran tersebut. – UTUSAN











