LSD 2023 medan cungkil bakat takraw Pulau Pinang - Utusan Malaysia

LSD 2023 medan cungkil bakat takraw Pulau Pinang

MOHAMED SANI Bakar (duduk, tengah) dalam sidang akhbar mengenai edisi sulung Liga Sepak Takraw Daerah (LSD 2023) di George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kira-kira 80 pasukan dari kesemua lima daerah di Pulau Pinang dijangka mengambil bahagian pada edisi sulung Liga Sepak Takraw Daerah (LSD 2023) yang akan membuka tirainya pertengahan tahun ini.

Presiden Gabungan Daerah-Daerah Sepak Takraw Pulau Pinang, Datuk Mohamed Sani Bakar berkata, LSD 2023 akan dibahagikan kepada beberapa kategori dan setiap persatuan sepak takraw daerah akan diberi peranan sebagai hos untuk kategori berbeza.

“Persatuan Sepak Takraw Daerah Timur Laut akan menjadi tuan rumah bagi kategori LSD Double & Bawah 11 tahun manakala Persatuan Sepak Takraw Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Persatuan Sepak Takraw Daerah Seberang Perai Utara (SPU) masing-masing akan menganjurkan LSD Bawah 16 Tahun dan LSD Bawah 20 Tahun.

“Sementara itu, Persatuan Sepak Takraw Daerah Barat Daya akan menjadi hos untuk kategori LSD Amatur dan Persatuan Sepak Takraw Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pula akan menganjurkan LSD Satu State,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Mohamed Sani, keputusan menganjurkan kejohanan sepak takraw dalam format liga di peringkat daerah itu dicapai dalam mesyuarat bersama pada 13 April yang lalu dan ketika ini, persiapan berkaitan sedang rancak dijalankan.

“Liga ini akan berlangsung secara serentak untuk semua kategori dan kami menjangkakan mungkin berlanjutan sehingga hujung tahun ini.

“Semoga penganjuran ini akan membolehkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan sepak takraw dicungkil dari setiap daerah di negeri ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.