Lelaki isi 650 liter diesel dalam van

Lelaki isi 650 liter diesel dalam van

VAN yang berisi kira-kira 650 liter minyak diesel yang disyaki untuk tujuan penyelewengan yang dirampas penguatkuasa KPDN Kedah di sebuah stesen minyak di Jalan Pegawai, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kegiatan seorang lelaki mengisi sehingga 650 liter minyak diesel dalam sebuah van mengundang padah apabila dia dicekup penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah yang mengintip perbuatannya sejak petang.

Pemandu berusia 32 tahun itu ditahan semalam kerana disyaki menyeleweng minyak diesel di salah sebuah Stesen Minyak di Jalan Pegawai, di sini.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pemantauan dan pemeriksaan dilakukan dari pukul 4 petang hingga tengah malam berdasarkan maklumat risikan dan aduan orang awam terhadap kegiatan terbabit.

“Anggota penguatkuasa menahan sebuah van jenis Toyota bernombor pendaftaran tempatan yang sedang mengisi minyak diesel. Pemeriksaan lanjut menemukan dua unit tangki fiber yang berisi minyak diesel. 

“Hasil soal siasat terhadap pemandu juga tidak mempunyai apa-apa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan. Maka, kita menyita kira-kira 650 liter diesel yang ditemukan dalam tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata, suspek dan kenderaan tersebut ditahan kerana disyaki digunakan untuk penyelewengan minyak diesel dan beberapa dokumen berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut. 

Katanya, anggaran nilai rampasan minyak diesel berkenaan adalah RM1,397.50 sementara jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM6,697.50. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. 

“Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi mana-mana orang perseorangan yang pertama kali melakukan kesalahan itu.

“Bagi kesalahan yang kedua, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Manakala untuk pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan kedua jika sabit kesalahan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya