KUALA LUMPUR: Beberapa bekas pemimpin UMNO terus menyatakan hasrat untuk menjadikan beberapa kawasan yang sebelum ini merupakan kubu kuat parti berkenaan, namun bertekad kali ini untuk memenangkan ia di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin kali ini turut berikrar menjadikan Lenggeng sebagai kubu kuat PN setelah menyertai Pas pada Disember tahun lepas.
Ikrar tersebut dibuat susulan langkah bekas pemimpin utama UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang turut tekad menjadikan Tanjong Karang sebagai salah satu kubu kuat gabungan parti Bersatu dan Pas tersebut.
“Kami telah berikrar akan menawan Negeri Sembilan dan sudah tentunya menjadikan kawasan saya di Lenggeng sebagai kubu kuat PN yang pernah suatu ketika dahulu menjadi kubu kuat Barisan Nasional.
“Berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas, UMNO telah kalah di kerusi DUN Lenggeng dan dimenangi oleh PN.
“Susulan itu, kita sepakat akan menggempur habis-habisan kesemua kerusi yang didominasi oleh pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zool Amali sebelum ini membuat keputusan meninggalkan UMNO bersama dengan ratusan ahli parti itu selepas tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin utama UMNO ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.
Terdahulu, Noh dalam satu kenyataan berkata, beliau akan memastikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN sekali gus membantu kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Jelas Noh, perjuangannya ketika ini untuk memastikan rakyat menyokong PN sama seperti usaha yang pernah dilakukannya selama lebih 30 tahun dalam membangunkan BN di kawasan itu.
Enam negeri termasuk Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jun depan.
Kedah, Kelantan dan Terengganu ketika ini ditadbir oleh kerajaan Perikatan Nasional, sementara tiga lagi negeri ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan. – UTUSAN











