KKM bersedia hadapi darurat cuaca panas - Utusan Malaysia

KKM bersedia hadapi darurat cuaca panas

ZALIHA Mustafa (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengamal kesihatan selepas Sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Zon Timur di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada dalam keadaan bersedia sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat ekoran cuaca panas melampau melanda negara. 

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara langkah yang diambil  memastikan fasiliti kesihatan berada pada tahap terbaik bagi menerima kemasukan lebih ramai pesakit akibat strok haba dalam masa terdekat.

Namun menurut beliau, KKM melihat keadaan semasa masih terkawal dengan 15 kes dilaporkan sehingga kini dengan satu kes kematian melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Katanya, daripada 15 kes itu, empat adalah kes strok haba, lima kes kelesuan dan enam kekejangan.

“KKM di semua peringkat sentiasa memantau perkembangan semasa dan kita telah bersedia jika ada lagi kes membabitkan pesakit strok haba pada bila-bila masa.

“Bagaimanapun belum ada keperluan untuk mengambil tindakan lebih drastik (darurat) dan apa yang disebut Timbalan Perdana Menteri adalah langkah berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Zon Timur di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang menilai cuaca di seluruh negara dan akan mengumumkan darurat jika ada keperluan.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan akan menggunakan Arahan No. 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melaksanakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

Sementara itu, Zaliha menjelaskan, Kertas Putih Kesihatan yang dirangka bagi menambahbaik sistem kesihatan negara akan dibentangkan di Kabinet pada 26 Mei ini sebelum bacaan pertama di Parlimen.

Menurutnya, bukan sahaja mendapat sokongan daripada rakyat, malah beliau juga optimis kertas pemutihan itu akan mendapat persetujuan daripada semua Ahli Parlimen.

“KKM sudah melihat model (kesihatan) di beberapa negara luar dan kita boleh ambil atau gabungkan input yang baik bagi menambahbaik dasar sistem kesihatan negara” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya