KKD teliti undang-undang bagi isu jualan semula tiket konsert Coldplay  - Utusan Malaysia

KKD teliti undang-undang bagi isu jualan semula tiket konsert Coldplay 

FAHMI Fadzil ditemui media pada lawatan kerja rasminya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengambil serius dalam isu jualan tiket bagi penganjuran konsert Coldplay.

Menterinya, Fadzil Fahmi berkata, kementeriannya akan mengadakan perjumpaan dengan penganjur bagi mendapatkan situasi sebenar yang berlaku kepada jualan tiket konsert terbabit.

“Isu konsert tiket khusus berkait isu Coldplay yang akan datang saya telah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) Datuk Fauzi, dan KKD kita akan memanggil penganjur konsert tersebut bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Tindakan ini adalah bertujuan untuk kita memahami apa sebenar yang berlaku, kenapa ia berlaku, bagaimana ia boleh diatasi sekarang serta apa langkah-langkah yang perlu kita teliti supaya tidak berlaku di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada lawatan kerja rasminya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Tambahnya, KKD akan meneliti  mekanisme pembelian tiket tersebut, sama ada perlu ada sekatan ataupun syarat-syarat dicadangkan ataupun melihat kepada kesesuaian keadaan.

“Melihat kepada kesesuaian dan keadaan, dan bagi SKMM semestinya isu platform digital yang mungkin menjadi platform ulat tiket, ini yang kita sedang teliti, ramai yang menyatakan rasa tidak puas hati.

“Kita juga sedang teliti apa peruntukan undang-undang yang ada, sekiranya perlu kita mengambil tindakan, tapi masih sama, saya ingin ambil kesempatan untuk memberi peringatan sekiranya ada sesiapa yang ingin membeli beberapa tiket konsert, mana-mana konsert sekalipun belilah daripada sumber yang sahih dan rasmi, itu akan mengelakkan masalah ulat tiket,” tegasnya.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kewujudan akaun-akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay namun dikatakan dikendalikan oleh ulat tiket pada harga yang lebih mahal.

Kumpulan rock dari Britain itu akan menjayakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam siri jelajah Music of The Spheres World Tour.

Sementara itu, Fahmi turut mendedahkan lawatan kerja rasminya ke Kuching pada kali ini turut akan membincangkan perkara berhubung masalah internet yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman negeri ini.

“Saya difahamkan yang diusahakan oleh pihak Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) ada lebih 600 menara tetapi kalau saya tidak silap, kurang daripada separuh yang telah ada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) ataupun telco yang telah beroperasi.

“Bagaimanapun, ada setengah daripada menara-menara ini berada di kawasan yang liputan 4G sekarang jadi untuk menambah kemudahan, ada yang belum maksudnya di kawasan yang tidak ada liputan 4G,” jelasnya.

Justeru Fahmi menggesa agar SKMM mendapatkan MNO untuk menyelesaikan masalah internet di kawasan yang terkesan.

“Jadi kita sedang meneliti beberapa ikhtiar untuk segera menyelesaikan masalah ini termasuk memanggil MNO ini serta memberi pengarahan, SKMM boleh memberi pengarahan.

“Ini yang sedang kita teliti dan insya-Allah dalam masa terdekat kita akan buat pengumuman tentang perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN