TELUK INTAN: Kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming yang mahu calon Perdana Menteri daripada DAP disifatkan hanya pandangan peribadi dan bukan pendirian parti tersebut.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming menjelaskan, parti tersebut tidak pernah menghalang mana-mana ahlinya mengeluarkan pandangan khususnya isu politik selaras dengan prinsip demokrasi.
“Baik Ahli Parlimen mahupun pemimpin (dalam DAP), mereka bebas untuk memberikan sebarang pendapat peribadi.
“Walau bagaimanapun, setiap daripada mereka itu adalah terikat dengan keputusan parti, jelas. Itu sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Pasar Besar Teluk Intan di sini hari ini.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu mengulas cadangan Kian Ming agar bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, menyertai DAP kerana parti itu tiada calon perdana menteri.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memberikan cadangan tersebut ketika sesi temu bual ‘Keluar Sekejap’ bertajuk ‘Kenapa Melayu Tak Suka DAP?’.
Pada Januari lalu, bekas Menteri Kesihatan yang popular dengan panggilan KJ itu dipecat daripada UMNO manakala keahlian Shahril Sufian dalam parti tersebut digantung selama enam tahun.
Sehingga kini, Khairy Jamaluddin masih belum menyatakan hala tujuan kerjaya politiknya termasuk desas desus akan menyertai parti lain untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Shahril Sufian bagaimanapun dilaporkan menyatakan tidak akan bertanding pada PRN tersebut kerana beranggapan secara teknikal, beliau masih ahli UMNO. – UTUSAN