PETALING JAYA: Pengukuhan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) pada masa ini dilihat dapat membantu jemaah haji di bawah kelolaannya menunaikan ibadah itu dengan lebih lancar.
Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, TH mempunyai keupayaan yang tinggi dalam mengendalikan operasi haji dengan lebih cemerlang berikutan kedudukan kewangan yang kian mengukuh.
Malah, katanya, jemaah haji juga akan lebih selesa apabila menunaikan ibadah berkenaan kerana pihak TH akan dapat menyediakan kemudahan berkualiti dari segi penginapan, pengangkutan serta makanan.
“Perkhidmatan yang lebih berkualiti membuatkan jemaah haji lebih mudah menunaikan ibadah haji dan yang paling utama mendapat haji yang mabrur,” katanya kepada Utusan Malayasia semalam.
Kelmarin, media melaporkan, kedudukan kewangan TH kekal positif dengan aset berjumlah RM90.92 bilion melebihi liabiliti yang mana simpanan pendeposit berjumlah RM87.60 bilion merupakan komponen terbesar liabiliti lembaga itu.
Dari segi aset, pendapatan tetap atau sukuk merekodkan peratusan tertinggi iaitu 60 peratus, di ikuti ekuiti sebanyak 22 peratus, hartanah (9.0 peratus), pasaran wang Islam (8.0 peratus) dan lain-lain (satu peratus).
Mengulas lanjut, Mohd. Afzanizam berkata, kedudukan kewangan yang kukuh juga bererti pihak TH dapat menjana pulangan pelaburan yang konsisten dan stabil.
Jelasnya, perkara itu penting terutama bagi pendeposit yang belum lagi menunaikan ibadah haji.
“Simpanan mereka akan berkembang dengan lebih pesat dan seterusnya dapat meningkatkan kemampuan mereka untuk membiayai kos melaksanakan ibadah haji yang dijangka meningkat pada masa akan datang,” ujarnya.
“Pendapat saya, deposit TH akan terus berkembang kerana ia merupakan platform utama bagi umat Islam di Malaysia ini untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.
“Apa yang penting, bagaimana deposit ini diuruskan supaya dapat menjana pulangan yang optimum serta bersesuaian dengan selera risiko TH.
“Oleh itu, peranan Alokasi Aset Strategik (SAA) akan membantu TH untuk membuat keputusan pelaburan dengan lebih efektif serta dapat mempelbagaikan kelas aset bagi mengurangkan risiko pelaburan,” jelasnya.-utusan










