Kerani rugi RM139,616 ditipu sindiket kerja sambilan - Utusan Malaysia

Kerani rugi RM139,616 ditipu sindiket kerja sambilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang kerani wanita di sebuah syarikat swasta kerugian RM139,616.50 selepas ditipu sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu daripada mangsa berusia 26 tahun, semalam.

Katanya, kejadian bermula apabila mangsa terpengaruh dengan tawaran kerja sambilan yang membolehkannya menerima bayaran komisen.

“Mangsa menerima pesanan ringkas pada 26 April lalu daripada seorang wanita yang menawarkan beberapa kerja sambilan di mana komisen akan dibayar mengikut tugasan yang dilakukan.

“Mangsa yang menyatakan minat untuk sertai telah dimasukkan dalam sebuah kumpulan Telegram di mana dia diberi penerangan berkaitan tugasan dan komisen yang akan dibayar,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, mangsa telah melakukan penugasan pertama dengan diberikan wang komisen sebanyak 10 peratus.

Katanya, bagi penugasan kerja yang kedua pula, mangsa perlu melayari aplikasi Shopee dan memilih barang mengikut tugasan sebelum dikehendaki memasukkan wang terlebih dahulu.

“Bagi tugasan kedua itu, mangsa telah menerima wang komisen sebanyak 20 peratus.

“Selepas melakukan tugasan tersebut, mangsa telah melakukan sebanyak 13 pembayaran secara dalam talian kepada empat institusi kewangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM139,616.50.

“Kesemua transaksi mengikut jumlah harga penugasan bagi mendapatkan komisen itu bermula dari 26 April hingga 5 Mei lalu,” katanya.

Tambah beliau, mangsa menyedari telah ditipu selepas diminta lagi memasukkan wang tambahan bagi mendapatkan semula kesemua wang yang telah dimasukkannya ke dalam akaun bank berkenaan.

“Laporan polis telah pun dibuat mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya