Kerani Pejabat Kesihatan didakwa 24 tuduhan terima rasuah

Kerani Pejabat Kesihatan didakwa 24 tuduhan terima rasuah

NORASHIKIN Mohamed Hussin (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi dituduh atas kesalahan membuat tuntutan palsu dan menerima rasuah lima tahun lalu.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pembantu tadbir Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas satu pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM2,900 dan 24 pertuduhan menerima rasuah, kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Norashikin Mohamed Hussin, 36, membuat pengakuan itu sebaik sahaja semua pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdayakan majikannya dengan mengesahkan tuntutan kerja pembaikan kenderaan Nissan Frontier berjumlah RM2,900 yang mengandungi butiran palsu antara 31 Januari 2020 hingga 3 Februari 2020 di Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson.

Tuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap 24 pertuduhan menerima rasuah bagi tujuan menawarkan kerja pembaikan kenderaan pejabat berkenaan melibatkan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM18,663 daripada pemilik sebuah bengkel membaiki kenderaan beralamat di Melaka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabatnya di Port Dickson mulai 4 Disember 2018 hingga 10 September 2020 dengan nilai suapan antara RM100 hingga RM3,057 sepanjang tempoh tersebut.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd. Saad.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan, perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Port Dickson sehingga kes selesai dan tarikh 28 Julai ini untuk proses serahan dokumen oleh pihak pendakwa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya