KUANTAN: Kerajaan negeri sedia mempertimbang memberikan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang secara berkala.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun peruntukan itu tidak sama dengan peruntukan yang diterima oleh wakil rakyat daripada kerajaan negeri.
“Kita bercadang hendak bagi secara berkala. Selepas itu akan ada lagi (peruntukan). Kita menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin lalu.
“Kita tetap berikan cuma tidaklah sama dengan kerajaan. Kena ada perbezaan. Ini perkara biasa dan ia tidak dapat dinafikan. Tidak berlaku (dalam kerajaan) peruntukan sama (antara ADUN pembangkang dan kerajaan),” katanya dalam ucapan penggulungan sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, sepatutnya tidak timbul isu sama ada ia titah atau tidak sebagaimana yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka).
“Sebelum titah Tuanku lagi kita ada memberikan peruntukan RM5,000 kepada yang berhormat pembangkang ketika bulan Ramadan yang lalu. Boleh bagi lagi, insya-Allah.
“Memang ada dalam perancangan tetapi tidaklah setiap bulan. Perlu ada tanda aras supaya ada ukuran bagi mendapatkan butiran terperinci, seia dan sekata tidak macam negeri lain yang ada ADUN dapat dan ada tidak.
“Berkaitan peruntukan kepada pembangkang ini kita akan bawa kepada perbincangan bersama Exco. Saya tidak boleh beri kelulusan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan duit kerajaan negeri. Kena tengok implikas kepada kewangan dan aliran kerajaan negeri,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak pernah sesekali mengabaikan kebajikan rakyat malah sentiasa menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada rakyat negeri ini secara berterusan meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa memilih bangsa, agama mahupun warna politik.
“Malah, di kawasan DUN pembangkang sekali pun kerajaan negeri akan tetap salurkan bantuan ini, walaupun pengundi di kawasan tersebut tidak memilih kami pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu kerana ini sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai kerajaan.
“Walaupun peruntukan tidak disalurkan terus kepada ADUN pembangkang, tetapi bantuan-bantuan ini tetap sampai kepada rakyat yang disalurkan menerusi Menteri Besar sendiri, Exco Kerajaan Negeri, Penyelaras DUN serta Pejabat Daerah,” jelasnya.
Pada Isnin lalu, Tengku Hassanal bertitah agar kerajaan negeri memberikan peruntukan yang adil kepada ADUN pembangkang negeri ini. – UTUSAN