Kerajaan gubal RUU Perubahan Iklim

Kerajaan gubal RUU Perubahan Iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Susulan pendedahan Utusan Malaysia menge­nai beberapa bandar bakal teng­gelam ekoran pemanasan global, kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dalam masa ter­dekat.

Tindakan itu sebagai usaha me­ngurangkan kadar ancaman selain meningkatkan ketahanan terhadap impak perubahan iklim.

Kemen­terian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Ik­lim men­jelaskan, akta berke­naan akan digubal berpandukan ketetapan dasar yang jelas supaya RUU berkenaan boleh dilaksa­nakan segera sejurus selepas diluluskan Parlimen nanti.

Selain itu kementerian juga se­dang membangunkan dokumen dasar Nationally Determi­ned Contributions (NDC) Roadmap and Action Plan bagi men­­capai sasaran pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.

Katanya, dasar itu merangkumi penetapan sasaran jumlah pelepasan GHG yang perlu dikurangkan bagi sektor-sektor tenaga, industri pemprosesan dan guna produk, pertanian, guna tanah, pertukaran guna tanah dan perhutanan, dan sisa (sektor spesifik yang disasarkan pengurangan pelepasan GHG) sehingga 2030.

“Seterusnya, mengenal pasti struktur tadbir urus dan membangunkan rangka pemantauan dan penilaian bagi membantu kementerian menjalankan penyelarasan, pemantauan dan penilaian di peringkat kebangsaan.

“Dan mengenal pasti sumber serta kapasiti merangkumi kewangan, teknologi dan keperluan lain bagi mencapai sasaran yang ditetapkan serta mengenal pasti kekangan yang dihadapi,” jelas kementerian itu di sini, semalam.

Kementerian itu berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar ini Selasa lepas berhubung beberapa bandar di Malaysia dilaporkan bakal hilang daripada peta kerana ditenggelami laut disebabkan pemanasan global dan cuaca ekstrem yang menyebabkan kenaikan paras laut, menjelang 2050 iaitu kurang 30 tahun daripada sekarang.

Antara faktor utama ke­naikan paras laut adalah pencairan glasier Greenland dan Antartika serta kepingan ais, perubahan suhu dalam simpanan daratan dan faktor paling mendominasi ialah pengembangan haba lautan.

Mengulas lanjut kementerian itu berkata, antara langkah yang diambil kementerian melalui Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) adalah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan unjuran kenaikan aras laut daripada tempoh masa kini ke tahun 2100.

Katanya, ia juga bagi mengenal pasti kawasan berisiko kesan kenaikan aras laut bagi seluruh pesisiran pantai Malaysia.

“Hasil R&D ini dapat membantu pemegang taruh menentukan kawasan berisiko dan mengguna pakai ketinggian aras laut ke dalam pengiraan reka bentuk struktur pelindung untuk meminimumkan kesan limpahan air laut ke atas guna tanah pesisiran pantai.

“Hasil kajian NAHRIM 2017 menunjukkan unjuran kenaikan aras laut menjelang 2050 dan 2100 berbanding dengan masa terkini akan meningkat secara purata adalah masing-masing 0.23 m dan 0.71 m berdasarkan senario paling ekstrem Representative Concentration Pathways (RCP) 8.5.

“Keluasan kawasan banjir pantai secara sementara atau kekal kesan kenaikan aras laut bagi seluruh Malaysia dianggarkan meningkat daripada 5,253 km persegi (masa kini) kepada 6,143 km persegi dan 9,295 km persegi masing-masing menjelang 2050 dan 2100 iaitu peningkatan sebanyak 16.9 peratus dan 76.9 peratus menjelang 2050 dan 2100, jika tiada adaptasi dan mitigasi dijalankan di sepanjang pantai,” jelasnya.

Kementerian menambah, kerajaan sudah mengemukakan permohonan kewangan iklim iaitu Dana Program Ketersediaan kepada Green Climate Fund (GCF) untuk membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan yang dijangka siap pada 2025.

Katanya, ia bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara bagi menghadapi impak perubahan iklim yang akan melibatkan lima sektor utama.

“Sektor itu merangkumi sektor jaminan air dan sumber pesisir; pertanian dan jaminan makanan; tenaga dan persekitaran terbina termasuk bandaraya; perhutanan dan biodiversiti; serta kesihatan awam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×