Keputusan rayuan Rosmah cabar pelantikan Sri Ram 22 Jun

Keputusan rayuan Rosmah cabar pelantikan Sri Ram 22 Jun

AKBERDIN Abdul Kader (kiri) memasuki lobi Mahkamah Rayuan Putrajaya sebelum rayuan Rosmah Mansor untuk mendapat kebenaran mencabar pelantikan Gopal Sri Ram. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor agar dibenar melalui tindakan sivil mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Jun ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam-peguam mewakili Rosmah dan responden-responden.

Hakim Hanipah menangguhkan keputusan sehingga bulan depan kerana panel berkenaan memerlukan masa yang mencukupi untuk meneliti penghujahan kedua-dua pihak, autoriti perundangan yang dikemukakan dan rekod rayuan.

Jika rayuan Rosmah dibenarkan, permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan. Isteri bekas Perdana Menteri mengemukakan rayuan selepas gagal mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram (kini mendiang) mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berhujah, ketiga-tiga surat pelantikan (fiat) Sri Ram masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah tidak sah dan tidak munasabah. Beliau antara lain berhujah, pengisytiharan fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 8 Julai 2020 tidak sah di sisi undang-undang.

Hujahnya, fiat itu sepatutnya ditandatangani Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas Rosmah. Jagjit selanjutnya berhujah, surat pelantikan itu tidak sempurna kerana ia wajar dikemukakan sebelum perbicaraan.

Seorang lagi peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader pula berhujah, keseluruhan perbicaraan kes projek solar yang dihadapi oleh Rosmah adalah terbatal kerana surat pelantikan tidak dikemukakan sejak awal.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah agar rayuan itu ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. Hujah beliau, semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan daripada isu berhubung pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan, dibangkitkan.

Bagaimanapun Shamsul menghujahkan, permohonan Rosmah hanya difailkan pada 24 Jun 2022 walhal beliau didakwa kali pertama pada 15 November 2018, kelewatan selama kira-kira tiga tahun tiga bulan.

Rosmah mengambil pendirian dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah terlebih dahulu bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebelum Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei 2022 memutuskan relif yang sesuai difailkan adalah melalui permohonan sivil.

Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Ogos 2022 yang menolak permohonannya selepas membenarkan bantahan awal pihak responden. Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid berpuas hati permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang ditetapkan.

Rosmah, 71, memfailkan permohonan itu pada 24 Jun 2022 di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden. Beliau memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau. Pada 1 September 2022, Mohamad Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Rosmah disabitkan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya