Kemalangan di PLUS: 2 syarikat bas digantung lesen  - Utusan Malaysia

Kemalangan di PLUS: 2 syarikat bas digantung lesen 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lesen pengendali dua syarikat bas iaitu Syarikat S.V. Juta Sdn. Bhd. dan Syarikat Kejora Masyhur Sdn. Bhd. digantung mulai 12 Jun ini selepas didapati melakukan kesalahan melibatkan dua kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) baru-baru ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu adalah hasil siasatan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) yang mendapati kedua-dua syarikat tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen.

Menurutnya, lesen Syarikat S.V. Juta Sdn. Bhd. digantung selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

Kata MOT, Syarikat Kejora Masyhur Sdn. Bhd. pula digantung selama 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti mana senarai di  bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Semakan dengan agensi berkaitan mendapati kedua-dua syarikat ini turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

“Sepanjang tempoh penggantungan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan Lesen Pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan,” katanya hari ini.

Pada 12 Mei lalu, sebuah bas ekspres berjenama Starmart Express di bawah syarikat S.V Juta Sdn. Bhd. berlanggar dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuhraya PLUS arah Utara.

Sehari selepasnya, sebuah bas ekspres berjenama TRA Xpress di bawah syarikat Kejora Masyhur Sdn. Bhd. pula berlanggar dengan dua buah lori di Kilometer 257.8 Lebuhraya PLUS arah Selatan.

MOT menegaskan tidak akan sekali-kali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya. 

Katanya, siasatan yang melibatkan pelbagai agensi di bawah MOT dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang.

“Dalam usaha memastikan aspek keselamatan pengguna sentiasa diutamakan, pihak kementerian akan mengarahkan agensi-agensi di bawah kementerian untuk menjalankan pemeriksaan audit pematuhan dan keselamatan ke atas pengendali yang berisiko tinggi.

“Kementerian berharap tindakan yang dikenakan ke atas kedua syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN