Kelulusan projek, penerokaan tidak melibatkan kawasan Orang Asli

Kelulusan projek, penerokaan tidak melibatkan kawasan Orang Asli

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan sebarang kelulusan projek atau penerokaan tanah tidak akan melibatkan kawasan yang telah disediakan untuk masyarakat Orang Asli. 

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kawasan yang disediakan kerajaan itu melibatkan penempatan dan aktiviti bercucuk tanam.

Menurutnya, dakwaan mengenai tanah kawasan Orang Asli yang semakin mengecil sepatutnya tidak timbul memandangkan kedua-dua kawasan berkenaan tidak diusik.

“Masyarakat Orang Asli ini (sebenarnya) tiada milik tanah dan kita telah menyediakan dasar untuk mereka dengan ‘reserve’ (simpan) dua kawasan iaitu di kawasan penempatan dan kawasan penanaman. Jadi dua kawasan ini memang kita tidak usik. 

“Kalau berlaku kelulusan projek dan sebagainya ia tidak melibatkan dua kawasan berkenaan, jadi tidak berbangkit mengenai isu tanah mengecil dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Jajahan Tanah Merah di Masjid Ikhtikad, Kampung Panjang, di sini hari ini.

Mohd. Amar memberitahu, sebarang permohonan gazet sempadan tanah Orang Asli yang diterima daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) perlu melalui proses semakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Katanya, setakat ini sudah ada permohonan yang diluluskan serta dalam proses penilaian oleh pihak PTG.

“Biasanya cadangan itu datang daripada Jakoa dan kita akan membuat semakan di PTG untuk melihat kawasan berkenaan sama ada ia sesuai atau bertindih. Dari situ barulah kita akan dapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan setakat ini sudah ada kawasan yang digazetkan dan ada yang masih dalam proses penilaian oleh PTG itu,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan lebih 4,000 penduduk Orang Asli di 18 buah kampung di Pos Brooke di sini berharap usaha pewartaan tanah Pembangunan Sosioekonomi Komuniti (PSK) di perkampungan mereka dapat dilakukan oleh pihak berwajib secepat mungkin.

Penduduk Orang Asli mendakwa kawasan perkampungan yang dihuni sejak turun-temurun itu sering terdedah dengan kegiatan pembukaan tanah kebun sayur sehingga menjejaskan kehidupan selain penempatan mereka semakin mengecil.

Sehubungan itu, Penghulu Kampung Jekjok, Jubir Sekmo berkata, pihaknya menghantar  permohonan gazet sempadan tanah Orang Asli kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada 6 Oktober 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya