Kegiatan seleweng diesel dan petrol tumpas, rampasan bernilai RM13,457.50 - Utusan Malaysia

Kegiatan seleweng diesel dan petrol tumpas, rampasan bernilai RM13,457.50

ANGGOTA penguatkuasa KPDN negeri melakukan pemeriksaan di lokasi menerusi serbuan Ops Tiris yang dilaksanakan di kawasan tanah lapangan Jalan Wang Kelian, Padang Besar, Perlis, semalam. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel dan petrol menerusi Ops Tiris dalam dua serbuan berbeza di sekitar kawasan tanah lapangan Jalan Wang Kelian di sini, semalam.

Serbuan pada pukul 11.15 pagi itu dilaksanakan hasil daripada risikan oleh anggota penguatkuasa KPDN sejak beberapa minggu lalu.

Pengarah KPDN negeri, Norazah Jaapar berkata, menerusi serbuan pertama, sebuah kenderaan motokar dipercayai sedang menyedut minyak diesel daripada tangki tambahan dengan menggunakan pam penyedut minyak beserta hos ke dalam beberapa tong drum.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi itu telah membawa kepada penemuan kira-kira 1,000 liter minyak diesel dan seorang remaja lelaki warga tempatan berumur 17 tahun turut ditahan selepas mengaku sebagai pengambil upah bagi kegiatan penyelewengan itu.

“Nilai rampasan membabitkan minyak diesel, tong drum, pam penyedut minyak, paip getah penyedut minyak dan sebuah kereta bersama tangki tambahan adalah dianggarkan berjumlah RM7,850,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Norazah berkata, serbuan di lokasi kedua sekitar kawasan berkenaan juga telah membawa kepada penemuan kira-kira 150 liter cecair dipercayai minyak petrol di dalam sebuah tong drum bersama beberapa peralatan lain.

Katanya, selain itu, sebuah kereta bersama tangki tambahan turut ditemukan di lokasi berkenaan.

“KPDN merampas semua barangan itu termasuk petrol yang dianggarkan bernilai RM5,607.50 dan modus operandi yang digunakan bagi kes ini adalah dengan menggunakan kenderaan tempatan untuk membeli diesel atau petrol di beberapa stesen minyak sebelum dibawa masuk ke lokasi berkenaan untuk dijual pada kenderaan berpendaftaran Thailand.

“Kertas siasatan juga telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Norazah berkata, KPDN negeri juga telah menjalankan siasatan ke atas tiga belas kes di bawah Ops Tiris sejak 1 Mac lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 15 individu terdiri daripada warga tempatan dan Thailand turut disiasat.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan dan aktiviti haram ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.