PETALING JAYA: Sebuah premis kedai dua tingkat di Nalan SS 14/2A, Subang Jaya di sini terbakar awal pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.06 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Razali Wan Ismail berkata, kebakaran melibatkan bangunan dua tingkat berukuran enam kali sembilan meter persegi.
“Ketika tiba, kita mendapati bangunan tersebut terbakar hampir 70 peratus.
“Api berjaya dikawal pada pukul 4.38 pagi dan tiada mangsa terlibat dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN