Kalimah Allah: Setiap pihak perlu prihatin demi keharmonian rakyat - Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Setiap pihak perlu prihatin demi keharmonian rakyat

MOHD. Shukri Ramli (kiri) mempamerkan aksi memukul bola rounders pada Program Rakyat Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 Raja Perlis di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis, hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Setiap pihak seharusnya prihatin terhadap penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut agama lain bagi memastikan seluruh rakyat negara ini dapat hidup dalam keadaan harmoni.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, beliau secara peribadi sememangnya tidak bersetuju sekiranya kalimah Allah digunakan dalam kitab atau penerbitan bahan agama lain.

Menurut beliau, Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi namun sebarang tindakan yang boleh mencemarkannya harus ditolak oleh setiap pihak.

“Isu berkaitan kalimah Allah ini adalah di bawah bidang kuasa ketua agama bagi setiap negeri dan hanya pihak berkenaan yang boleh menentukan tentang penggunaan kalimah tersebut oleh agama lain.

“Kita harapkan agama lain dapat menghormati Islam dan dalam keadaan itu, barulah rakyat dapat hidup dengan harmoni,” katanya ketika ditemui selepas Program Rakyat Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 Raja Perlis di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini.

Mohd. Sukri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia bagi menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan sebelum ini turut menuntut penjelasan Kerajaan Malaysia yang menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memohon penjelasan jika Majlis-Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang diberi hak oleh mahkamah sebagai Amicus Curae (sahabat mahkamah), dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil oleh kerajaan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai situasi cuaca panas ketika ini, Mohd. Shukri berkata, pihaknya telah mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berhubung situasi semasa di empangan Timah Tasoh.

Beliau berkata, bekalan air di empangan itu masih mencukupi bagi menampung keperluan penduduk di negeri ini untuk tempoh dua bulan sekiranya keadaan cuaca panas masih berterusan.

“Kerajaan negeri juga sudah berbincang dengan Syarikat Air Perlis (SAP) bagi membina telaga tiub atau ‘boring’ di kawasan berhampiran jalan sebagai persediaan bagi memudahkan penduduk mengambil bekalan.

“Buat masa ini, SAP sedang buat kajian bagi mengenal pasti kawasan bersesuaian untuk membina telaga tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.