Kalimah Allah: Kerajaan membelakangi Muzakarah Fatwa Kebangsaan?

Kalimah Allah: Kerajaan membelakangi Muzakarah Fatwa Kebangsaan?

AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pendirian Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan kes kalimah Allah beberapa hari lalu jelas membelakangi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, pendirian Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2008 telah memutuskan bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

“Ianya tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Persoalannya adakah pendirian fatwa kebangsaan ini tidak mempunyai merit dalam pertimbangan yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri selaku menteri bertanggungjawab.

“Rakyat kini melihat satu demi satu dasar Kerajaan Perpaduan yang dikatakan Madani ini tetapi membelakangi pendirian golongan pemegang taruh utama pembuat dasar.

“Daripada isu pemberian ubat PrEP kepada golongan pengamal homoseksual, nyah senarai nikotin daripada Akta Racun dan kini isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, KDN dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Sementara itu akhbar melaporkan, Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu selain memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Tambah Ahmad Fakhruddin, persoalan seterusnya yang berbangkit adalah siapa pengaruh di sebalik dasar-dasar Madani yang tempang itu dan bagaimana dasar-dasar yang membawa kepada pelbagai implikasi diputuskan tanpa libat urus yang betul.

“Keputusan-keputusan ini dilihat dilaksanakan secara tergesa-gesa. Kerajaan terus menikus dengan seribu satu alasan untuk mempertahankan tindakannya yang tempang. Lama kelamaan struktur ini akan retak menanti belah. Masa akan menentukannya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya