Kalimah Allah: Isu sudah lama, mengapa tidak bantah dari dulu? - Salahuddin  - Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Isu sudah lama, mengapa tidak bantah dari dulu? – Salahuddin 

SALAHUDDIN Ayub (duduk, tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Food panda, Sayantan Das (duduk, kiri) bergambar bersama rakan kongsi restoran yang menawarkan Menu Rahmah selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Foodpanda Malaysia di Pejabat Foodpanda. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Amanah mempersoal tindakan sesetengah pihak sebelum ini yang tidak mengeluarkan bantahan berhubung isu kalimah Allah yang diguna penganut agama Kristian, selepas kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut agama itu boleh menggunakan kalimah berkenaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu tersebut sudah memakan masa puluhan tahun, namun tiada sesiapa yang menyuarakan bantahan keras dalam kerajaan ketika itu.

Ironinya, kata Ahli Parlimen Pulai itu, hanya sekarang ada pihak tertentu yang sengaja membangkitkannya.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak melampaui batas dengan bermain politik dan mengkritik kerajaan dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian.

“Isu ini telah berlaku pada tahun 2001, sebab itu saya kata janganlah melampaui batas dalam kita bermain politik. Ketika itu tiada orang yang cakap, mengeluarkan kenyataan dan bantahan waktu itu dalam kerajaan.

“Sudah pasti perkara ini akan diputuskan melalui undang-undang negara, dan saya rasa isu ini akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet esok.

“Pastinya, isu ini akan diselesaikan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan juga tidak berkompromi dalam apa jua perkara. Agama Islam itu kena dipertahan,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) berkata demikian selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama Foodpanda Malaysia di ibu pejabatnya, di sini.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Bagaimanapun, Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan menuntut penjelasan Kerajaan Malaysia yang menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut memohon penjelasan jika Majlis-Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang diberi hak oleh mahkamah sebagai Amicus Curae (sahabat mahkamah), dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil oleh kerajaan.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang mewakili lebih 70 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan NGO Islam dilapor akan menggerakkan bantahan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik pembatalan rayuan itu.

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang boleh diguna dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah `Allah’, `Kaabah’, `Baitullah’ dan `solat’.

KDN dan Kerajaan Malaysia menyatakan tidak berniat meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhenti keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah boleh diguna dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.

Bagaimanapun, penerbitan buku agama atau bahan keagaamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu perlu disertakan dengan penafian ‘Hanya untuk penganut Kristian sahaja’ pada kulit buku beserta lambang salib.

Hakim itu memutuskan demikian dalam semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland.

Jillyang merupakan seorang wanita Melanau memfailkan semakan kehakiman pada 2008 memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya telah dihalang melalui sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.