Jeti Kuala Kedah usang, akan dinaik taraf - Utusan Malaysia

Jeti Kuala Kedah usang, akan dinaik taraf

ANTHONY Loke (kanan) bersama Saifuddin Nasution Ismail (dua kanan) melihat lakaran projek naik taraf Terminal dan Jeti Penumpang, Kargo dan RORO Kuala Kedah. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Setelah beberapa tahun tertangguh, projek naik taraf Terminal Jeti Kuala Kedah, di sini akan dimulakan penghujung tahun ini sebelum dijangka siap sepenuhnya 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tender bagi projek itu akan diiklankan pada 6 Jun ini yang melibatkan kerja meroboh, membina, menaik taraf terminal dan jeti penum­pang, kargo serta feri roll-on roll-off (RORO).

“Projek ini adalah demi meningkatkan kecekapan peng­operasian feri penumpang, kargo dan perkhidmatan RORO di laluan marin Kuala Kedah ke Langkawi di mana ia membantu pemulihan industri pelanco­ngan di permata Kedah.

“Skop utama projek melibatkan kerja meroboh dan membina terminal baharu berkonsepkan teknologi hijau yang mampu menampung 3,000 penumpang berbanding kapasiti sedia ada hanya 800 penum­pang,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan di Terminal Jeti Kuala Kedah, di sini semalam.

Lawatan itu turut disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambahnya, projek naik taraf itu melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat serta infrastruktur, fasiliti bangunan dan kerja landskap.

Menyentuh kelewatan projek naik taraf itu yang sepatutnya bermula pada 2020, kata Anthony, ia disebabkan isu teknikal selain penularan Covid-19.

“Jeti ini agak usang. Sebenarnya saya pernah sampai ke jeti ini beberapa tahun lalu ketika itu memang ada juga usaha naik taraf dengan Kementerian Pengangkutan me­lantik juru perunding pada 2020.

“Pada 2020 sehingga kini projek ini sepatutnya sudah berjalan tetapi pelbagai perkara berlaku terutama Covid-19, ba­nyak kerja tertangguh dan apabila tender dibuka pada 2021 ada isu teknikal sebelum Kementerian Kewangan minta kita buka tender semula tahun lalu,” katanya.

Katanya, operasi pengangkutan feri di Kuala Kedah akan dipindahkan sementara ke tapak bersebelahan terminal ber­kenaan ketika kerja-kerja naik taraf dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya