Jemaah haji perlu persiapkan diri - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

Jemaah haji perlu persiapkan diri – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar bakal-bakal jemaah haji mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya.

Titah baginda, hal demikian kerana ibadat haji adalah perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan yang jelas.

Baginda bertitah, sebelum berangkat ke tanah suci, bersihkan niat dan gunakan tenaga dan masa untuk melaksanakan amal ibadah secukupnya untuk mendapat haji mabrur.

Dalam masa sama, baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua yang telah menerima jemputan menunaikan ibadat haji pada tahun ini dan syabas atas komitmen serta ketekunan untuk menyiapkan diri masing-masing dengan segala ilmu yang diperlukan.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Tabung Haji atas usaha menganjurkan kursus-kursus secara fizikal dan juga secara dalam talian sebagai persediaan rohani untuk semua bakal haji.

“Beta juga menzahirkan rasa syukur atas makluman bahawa Tabung Haji dijangka menghantar seramai 31,600 jemaah Malaysia ke tanah suci pada tahun ini, yakni kembali ke kuota asal yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi setelah dikurangkan hanya kepada 14,000 jemaah pada musim lalu akibat pandemik Covid-19,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan kursus perdana haji peringkat negeri ini di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Pauh Putra baru-baru ini.

Seramai 370 bakal haji terpilih dari negeri ini mengikuti kursus ini sebagai persiapan terakhir sebelum berangkat ke tanah suci.

Turut hadir, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman.

Baginda seterusnya mendoakan semua jemaah agar selamat sampai ke tanah suci dan pulang ke tanah air membawa haji yang mabrur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya