Ipoh berpotensi jadi lokasi pilihan penggambaran filem Selatan India - Utusan Malaysia

Ipoh berpotensi jadi lokasi pilihan penggambaran filem Selatan India

RUMAIZI Baharin (tengah) dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penggambaran filem Tamil atau Kollywood dari Selatan India di bandar raya ini baru-baru ini membuka ruang untuk Ipoh menjadi lokasi pilihan perusahaan filem India.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kehadiran penggiat filem dari India itu adalah satu petanda yang baik bagi bandar raya ini untuk mencapai hasrat Ipoh menjadi lokasi tumpuan dan aspek seni kreatif.

“Sejak tahun lepas kita memang ada perancangan untuk menarik penggiat seni dari India dan terbukti ia sudah bermula pada tahun ini.

“Apabila kita rujuk dengan ejen Bollywood di India, mereka seperti tidak berminat dengan Ipoh tetapi Ipoh mendapat sambutan yang baik daripada penggiat seni dari Selatan India,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei di sini hari ini.

Menurutnya, penggambaran filem Kollywood yang dijalankan selama sebulan di bandar raya ini baru-baru ini sudah cukup baik untuk memasarkan Ipoh sebagai lokasi penggambaran filem.

“Saya rasa sudah cukup untuk market (pasaran) Ipoh kerana apa yang saya baca di media sosial, penduduk di Selatan India sahaja mencecah kira-kira 200 hingga 300 juta orang.

“Di India, rupa-rupanya terbahagi kepada dua industri filem yang besar iaitu Bollywood dan Kollywood,” katanya.

Katanya, beliau juga terkejut dengan sambutan daripada peminat-peminat filem Tamil yang datangnya dari bangsa Melayu.

“Saya terkejut orang Melayu pun ramai minat filem Tamil,” katanya.

Katanya, MBI juga memberi kerjasama kepada penggiat seni dari India itu untuk memudahkan penggambaran dijalankan di sini dengan mencadangkan tempat penggambaran yang menarilk.

Menurut Rumaizi, pihaknya juga turut mencadangkan Kampung Baru Buntong di sini yang sinonim dengan kacang putih sebagai lokasi pengambaran sebagai cara untuk menjana pendapatan selain dapat mempromosikan kawasan Buntong di mata dunia.

Sebelum ini, kehadiran pelakon terkenal India Selatan, Vijay Sethupathi untuk penggambaran filem terbaharunya selama hampir 35 hari mendapat sokongan penuh kerajaan Perak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.