Hadap sakit gigi, pembedahan hidung demi Polis Evo 3 - Utusan Malaysia

Hadap sakit gigi, pembedahan hidung demi Polis Evo 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komitmen yang diberikan pelakon Sharnaaz Ahmad, 37, demi menjayakan aksi dalam filem Polis Evo 3 wajar diberikan pujian.

Walaupun terpaksa berdepan kesakitan, semua itu tidak dipedulikan pemilik nama penuh Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad asalkan watak antagonis bernama Reza berjaya dijelmakan dengan sempurna.

“Sebenarnya ketika menjayakan filem ini, saya banyak berhadapan dengan kesakitan antaranya sakit gigi, setiap hari. Mungkin kedengaran lucu, tapi cubalah berlakon ketika sakit gigi. Saya bergelut dengan kesakitan itu.

“Selain itu, saya juga alami kecederaan lutut dan menjalani pembedahan hidung selepas menjayakan filem akibat habuk di lokasi penggambaran,” ceritanya kepada Utusan Malaysia semasa majlis tayangan perdana filem Polis Evo 3.

Menjadi sebahagian daripada Polis Evo 3 dan bekerja pertama kali dengan pengarah Syafiq Yusof adalah sebuah penghormatan.

Oleh itu, soal bayaran bukanlah perkata utama yang difikirkan Sharnaaz semasa menerima tawaran ini.

“Saya tak tanya langsung soal bayaran. Saya pergi uji bakat (casting) dan penerbit ambil saya berlakon.

“Ketika itu saya bertekad, kalau nak mampus pun mampuslah, asalkan saya dapat buat Polis Evo 3. Saya betul-betul berikan sepenuh hati saya untuk tawaran ini,” jelasnya.

Lakonan Sharnaaz dalam filem ini turut mendapat perhatian ramai. Menurutnya, ketika melakonkan watak Reza, dia juga berhadapan situasi getir yang membuatnya mudah membawakan emosi dan air mata.

“Zizan, Sam dan pengarah sendiri banyak memberikan sokongan sehingga saya dapat lakukan watak Reza di Polis Evo 3.

“Sebenarnya saya sudah bawa emosi sejak awal. Semasa penggambaran, saya sedang berhadapan sesuatu yang membuatkan saya mudah untuk bawa emosi itu dalam karakter Reza.

“Babak paling susah saya lakonkan ialah di babak terakhir,” tambahnya lagi.

Polis Evo 3 yang menelan belanja melebihi RM8 juta menceritakan tentang Reza yang juga bekas anggota polis melakukan kekacauan.

Inspektor Khai yang juga bekas rakan karib Reza diamanahkan untuk menangkap dan mengendalikan misi ini. Filem Polis Evo 3 bakal menemui penonton di panggung bermula 24 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN