Guru rugi RM137,000 terpedaya panggilan anggota polis palsu - Utusan Malaysia

Guru rugi RM137,000 terpedaya panggilan anggota polis palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang guru wanita mengalami kerugian sehingga RM137,000 akibat terpedaya dengan tipu helah suspek yang menyamar sebagai anggota polis, 10 Mei lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 36 tahun itu mendakwa dihubungi suspek yang menyamar sebagai polis dari Bukit Aman pada tarikh berkenaan.

Menurutnya, suspek memaklumkan bahawa mangsa terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

“Hasil siasatan awal, mangsa memberitahu telah diarahkan untuk memindahkan semua wang dimilikinya ke satu akaun bank untuk memudahkan proses siasatan.

“Suspek juga memberitahu mangsa bahawa dia juga mempunyai waran tangkap. Mangsa yang bimbang akan dikenakan tindakan tegas mengikut arahan diberikan suspek dan memindahkan wang seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata, suspek juga meminta mangsa menyerahkan segala maklumat perbankan.

Jelasnya, tidak cukup dengan arahan tersebut, mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000.

“Pinjaman tersebut adalah yang diarahkan suspek dan meminta memindahkan wang itu ke akaun terbabit. Mangsa hanya menyedari ditipu selepas semua wang dalam akaun itu lesap dan membuat laporan polis. Laporan polis dibuat di Balai Polis Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, orang ramai terus dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan pelbagai taktik dilakukan sindiket penipuan.

Katanya, orang ramai perlu menghubungi pihak berkuasa sekiranya menerima panggilan mencurigakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya