PETALING JAYA: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar yang dicadangkan bagi anak golongan elit perlu menggunakan nama lain bagi mengelak kekeliruan terhadap matlamat asal penubuhan institusi itu.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, penggunaan nama baharu juga dapat mengelak tanggapan berlaku diskriminasi dalam pendidikan bagi golongan berpendapatan rendah dan tinggi.
“MRSM berbayar itu perlu mempunyai bangunannya sendiri dan tidak mengganggu 58 buah MRSM yang sedia ada di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu, dilaporkan cadangan MRSM berbayar masih dalam fasa kajian bagi mendapat pandangan daripada pelbagai pihak supaya Mara dapat membuat keputusan yang tepat dalam isu tersebut.

Dalam pada itu, Anuar berkata, MRSM berbayar perlu mengekalkan kualiti pendidikan yang sama agar dapat menggalakkan lebih ramai golongan berkemampuan menghantar anak mereka bersekolah di situ.
“Ini akan menggalakkan ramai ibu bapa golongan elit menghantar anak mereka untuk bersekolah di situ dan hasil daripada yuran yang dibayar dapat membantu menyumbang kepada kewangan MRSM.
“Pembukaan premis pendidikan baharu tersebut memberi peluang kepada lebih banyak pemberian biasiswa dan bantuan kepada pelajar golongan B40 yang bersekolah di MRSM sedia ada,” katanya. – UTUSAN










