Guna bahasa asing pada infrastruktur jejas bahasa kebangsaan

Guna bahasa asing pada infrastruktur jejas bahasa kebangsaan

TEO KOK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan bahasa asing bagi penamaan jalan, bandar dan taman perumahan secara berleluasa dikhuatiri boleh meruntuhkan bahasa kebangsaan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, kecenderungan penggunaan bahasa asing tersebut jelas menunjukkan rakyat seperti tidak memartabatkan bahasa Melayu lagi.

“Jika memang tertanam sikap bangga akan bahasa kebangsaaan sendiri, perkara ini tidak akan terjadi malah sepatutnya kita mengangkatkan lagi penggunaan bahasa itu ke persada dunia,” katanya kepada ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, masyarakat Melayu juga dilihat seperti acuh tidak acuh terhadap penggunaan bahasa itu.

 “Ini akan turut mempengaruhi etnik lain yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga buat mereka.

“Jika perkara ini dibiarkan berpanjangan berkemungkinan generasi baharu tidak akan mempedulikan langsung bahasa tersebut pada masa akan datang,” jelas beliau. 

Sehubungan itu kata Kok Seong, impak buruk tersebut boleh mencalarkan imej negara dan juga terhadap citra bahasa kebangsaaan negara ini.

“Kita tahu mereka yang  bukan Melayu terpaksa untuk mempelajari bahasa ini kerana sebab tertentu dan juga di sekolah, subjek bahasa Malaysia atau Melayu adalah subjek yang diwajibkan lulus dalam peperiksaan awam. 

“Jadi bagi mereka penggunaan bahasa Melayu masih tidak dapat diterima sepenuhnya lagi dalam diri mereka dan hanya semata-mata untuk memenuhi syarat tertentu,” katanya.

Mengulas berkenaan dengan akta yang memang sedia ada mengenai bahasa kebangsaan negara, beliau berkata, dasar tersebut memang mencukupi namun dari segi penguatkuasaan  dilihat kian lemah. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari berkata, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya menghalang penamaan apa sahaja infrastruktur dalam bahasa asing kerana bukan di bawah bidang kuasa mereka.

“Dalam penamaan premis, jalan, bandar dan taman, tanggungjawab tersebut diberikan kepada kerajaan tempatan dan penggunaan bahasa Melayu yang betul memang digalakkan,” kata beliau.

Hazami menambah, DBP mempunyai garis panduan dan juga kaedah bimbingan untuk menggunakan istilah yang baik dalam penamaan tersebut bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.

“Tetapi apabila dibabitkan dengan hal-hal urusan kerajaan dan pihak swasta ia bergantung kepada pihak tempatan yang berkenaan.

“Jika sekiranya pihak tempatan di kawasan tersebut mempunyai peraturan atau perundangan kecil yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaaan yang betul bagi penamaan premis atau penamaan perniagaan, maka mereka perlu akur dengan peraturan tersebut,” katanya.

Beliau beranggapan pemikiran sebilangan masyarakat yang berpendirian penggunaan bahasa Melayu sebagai lapuk dan tiada nilai komersial, sebagai mereka yang tidak bangga dengan bahasa kebangsaan sendiri.

“Ini dapat dibuktikan banyak negara jiran kita yang berjaya meningkatkan ekonomi dan maju, dengan hanya memartabatkan bahasa kebangsaaan negara mereka dalam semua urusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya