Gariskan mekanisme tuntut Google bayar media tempatan - Utusan Malaysia

Gariskan mekanisme tuntut Google bayar media tempatan

Gambar hiasan/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyegerakan kajian penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) dan mengeluarkan mekanisme menuntut platform enjin carian gergasi seperti Google dan META membayar kandungan berita kepada syarikat media tempatan jika benar kerajaan serius membantu industri berkenaan.

Kerajaan juga perlu jelas dan konsisten ke arah pelaksa­naannya bagi memastikan RUU itu tidak dapat dipertikai, ketika industri media Malaysia malah di seluruh dunia berdepan kesukaran untuk kekal bertahan.

Selain tuntutan itu, pelaksanaan cukai kepada penyedia platform enjin carian dilihat sebagai langkah berkesan membantu industri media tempatan menjana pendapatan menerusi hasil yang diperoleh daripada entiti berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli berkata, usaha kerajaan itu dilihat sebagai langkah baik yang diyakini menjadi pemangkin ke arah pemerkasaan industri media yang lebih relevan.

“Inisiatif (RUU) ini bagus, sebab apabila menggunakan saluran itu, kita tahu mereka ini adalah syarikat transnasional (TNC) yang menjangkau batas dan sempadan. Apabila kerajaan umum, ia akan membantu secara tidak langsung kepada agensi media tempatan memperoleh semula pendapatan mereka.

“Begitu juga dengan pelaksanaan cukai antarabangsa yang dikenakan ke atas mereka. Cuma, polisi percukaian ini pula tindakannya perlu jelas. Perlu ada pelan supaya pelaksanaannya tidak mendatangkan masalah pada masa akan datang,” katanya di sini.

Bagaimanapun Mohd. Amirul­ berkata, ia tidak akan semudah itu kerana beliau menjangka berlaku implikasi terhadap entiti gergasi terlibat seandainya mereka enggan membayar kandungan berita syarikat media tempatan.

Malah RUU yang digubal Malaysia untuk menuntut bayaran kandungan berita itu berisiko menjadi tindak balas terhadap kerajaan.

“Kena lihat apakah ia memberi kesan jangka panjang ke­rana syarikat-syarikat besar ini ada hak sama ada mahu terus bersama kita (syarikat media tempatan) atau tidak.

“Sejauh mana sokongan mereka terhadap kerajaan dan syarikat media kita? Tiada masalah kalau mereka sokong dan mahu membantu kita. Adakah kita sendiri sudah bersedia memainkan peranan sebagai pemain aktif dalam sistem ini?” Soalnya.

Pada sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh kelmarin, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital sedang mene­liti permintaan industri media tempatan supaya membantu mereka mendapatkan semula hasil perbelanjaan pengiklanan (Adex) yang ketika ini dibolot secara tidak adil oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa.

Sementara itu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, negara dan syarikat media tempatan dijang­ka memperoleh keuntungan ‘amat besar’ menerusi bayaran kandungan berita dan cukai itu.

Namun beliau tidak memberi unjuran tertentu hasil pendapatan yang akan diperoleh negara serta pemain industri dan langkah memulakannya adalah kerajaan mesti membawa usul membentang RUU berkaitan di Parlimen.

“Kerajaan kena laksana perkara ini kerana ia melibatkan wang. Tapi kena melihat apa bentuk RUU itu dahulu baru kita ketahui apa meka­nisme yang terbaik. Saya yakin, kita akan menjana pendapatan agak besar kerana kita menuju ke arah pendigitalan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.