FIRA Malaysia Cup: PSIS pertahan kejuaraan, PSP lakar sejarah tersendiri - Utusan Malaysia

FIRA Malaysia Cup: PSIS pertahan kejuaraan, PSP lakar sejarah tersendiri

SEBANYAK 21 buah politeknik dan dua kolej komuniti mengambil bahagian pada kejohanan 16th FIRA Malaysia Cup 2023 yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BUKIT MERTAJAM: Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) membuktikan keunggulan mereka apabila mempertahankan kejuaraan Federation Of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia Cup yang dimenangi di Johor tahun lepas pada edisi kali ini yang diadakan di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini.

Berjaya mengumpul keseluruhan 14 pingat termasuk enam kilauan emas, PSIS mengetepikan 22 lagi pencabar lain termasuk dua buah kolej komuniti sekali gus membawa pulang piala pusingan pada kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula 8 Mei lalu.

Selain merangkul kejuaraan untuk dua tahun berturut-turut, PSIS juga pernah dinobatkan sebagai johan keseluruhan untuk kejohanan yang sama iaitu pada 2018 dan 2019.

Dalam pada itu, tuan rumah, PSP turut melakar sejarah tersendiri apabila mengungguli kategori baharu yang diperkenalkan pada kejohanan terbabit iaitu ‘Business and Innovation’.

Pada masa sama, PSP turut dipilih sebagai pemenang kategori khas iaitu ‘Most Outstanding Presentation’.

Menurut Suliza Othman yang bertindak selaku mentor pasukan PSP, mereka mengambil masa selama hampir dua bulan untuk membuat persiapan bagi menghadapi FIRA Malaysia Cup kali ini.

“Disebabkan ini pertama kali kami bertanding, memang rasa kurang yakin untuk menang pada peringkat awal walaupun sangat yakin sebelum ini.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, semua ahli pasukan (terdiri daripada empat peserta) berjaya menyampaikan bahagian masing-masing dengan baik sepanjang pertandingan sama ada bahagian ‘marketing’ (pemasaran), ‘business plan’ (pelan perniagaan), operasi dan teknikal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Tambah Suliza, kejayaan sulung itu menjadi pemangkin untuk PSP berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan.

Selain kategori Business and Innovation, tujuh lagi kategori yang dipertandingkan pada FIRA Malaysia Cup kali ini ialah Simurosot, Air Drone, Androsot, Robosot, MyBot, Hurocup dan Aibot. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya