PETALING JAYA: Tindakan satu sindiket curi kenderaan untuk diseludup keluar negara terbongkar susulan penahanan enam individu di sekitar Lembah Klang dan Bentong, Pahang, baru-baru ini.
Hasil risikan, kesemua tangkapan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi operasi Op Lejang TFH bermula Rabu hingga awal pagi Khamis lalu.
Difahamkan, kesemua tangkapan membabitkan enam lelaki tempatan berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun.
Menurut sumber, polis telah merampas dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Altis dianggar bernilai RM100,000.
“Turut dirampas ialah peralatan-peralatan curi kenderaan.
“Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga Ahad ini,” katanya di sini hari ini.
Sumber berkata, siasatan mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan curi kenderaan khususnya model Honda serta Toyota.
Tambahnya, dipercayai sindiket ini aktif di sekitar Lembah Klang, Pahang, Johor dan Pulau Pinang.
“Kenderaan yang dicuri ini dipercayai diletakkan di tempat terpencil sebelum diambil oleh suspek lain untuk dihantar ke sempadan negara sebelum dipasarkan ke negara jiran.
“Kegiatan ini juga bagi memenuhi pasaran alat ganti terpakai dalam negara,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.
Tegasnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – UTUSAN