Empangan Air Itam kritikal, hanya mampu bertahan 40 hari - Utusan Malaysia

Empangan Air Itam kritikal, hanya mampu bertahan 40 hari

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Simpanan air di Empangan Air Itam, di sini hanya mampu bertahan untuk 40 hari sahaja lagi susulan cuaca panas yang sedang melanda ketika ini serta kekurangan taburan hujan di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, jika hujan tidak mencukupi di kawasan tadahan itu atau tiada hujan langsung, empangan tersebut dijangka kehabisan sumber air menjelang Jun ini.

Jelas beliau, penurunan ketara kapasiti air di Empangan Air Itam itu disebabkan kekurangan taburan hujan di kawasan berkenaan dan penggunaan air yang tinggi iaitu di kawasan pasar dan medan selera di situ.

”Kita bimbang jika pengguna tidak menjimatkan penggunaan air sekarang, mereka akan menghadapi masalah air yang kritikal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Empangan Air Itam

Empangan Air Itam membekalkan air kepada pengguna di bandar Air Itam, Paya Terubong dan kawasan sekitarnya membabitkan 30,000 orang dengan 6,000 akaun.

Setakat 7 Mei lalu, Empangan Air Itam merekodkan kapasiti pada paras 41.5 peratus manakala empangan Teluk Bahang pada paras 48.4 peratus.

Menurut Zairil, PBAPP telah menjalankan tindakan kejuruteraan iaitu mengurangkan jumlah pengeluaran dan penyaluran air daripada Empangan Air Itam kepada pengguna.

Selain itu, jelas beliau, terdapat akaun pengguna di kawasan Air Itam yang disalurkan dengan menggunakan bekalan air daripada Lori Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

”Sekiranya langkah ini tidak diambil mungkin air di Empangan Air Itam akan habis dalam tempoh 10 hari, sekarang dengan langkah ini ia dapat bertahan selama 40 hari lagi,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, Empangan Teluk Bahang yang membekalkan air kepada 500,000 pengguna di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut juga mengalami penurunan kapasiti efektif yang ketara dan mampu bertahan kira-kira 146 hari sahaja lagi tanpa hujan.

”Operasi pembenihan awan telah dijalankan di kawasan-kawasan tadahan air ini, namun ia mesti dijalankan secara berterusan bagi memastikan taburan hujan yang optimum untuk memenuhi empangan.

”Selain itu, orang ramai juga diminta menjimatkan air bagi memastikan tidak berlaku krisis air yang kritikal pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya