Ekstasi ragut usia remaja Maria - Utusan Malaysia

Ekstasi ragut usia remaja Maria

SALAH seorang banduan wanita memeluk erat ahli keluarganya ketika terpilih meraikan sambutan hari raya di Penjara Pokok Sena, Kedah. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Tempoh dua tahun terpaksa meringkuk dalam penjara akibat kesalahan dadah amat memeritkan bagi seorang banduan wanita yang mahu dikenali sebagai Maria, apatah lagi dia terpaksa berjauhan de­ngan keluarga ketika Aidilfitri.

Atas keinsafan itu, Maria, 29, yang berasal dari Sungai Dua, Pulau Pinang bertekad, hukuman penjara yang dijalaninya buat kali ketiga selama lima tahun ini adalah yang terakhir dalam hidupnya.

“Lebih dua tahun berada di sini dan paling sakit adalah rindu yang tidak dapat dileraikan kerana terpaksa berpisah dengan keluarga.

“Ini kali kedua saya sambut hari raya di penjara dan saya harap ini adalah kali terakhir. Saya sudah insaf dan serik,” katanya yang dijatuhi hukuman pada April 2021 atas kesalahan di bawah Seksyen 39c Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maria yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian itu berkata demikian ketika ditemui pada program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri Penjara Pokok Sena di sini, semalam.

Dalam program tersebut, seramai 15 banduan berpeluang me­raikan sambutan hari raya bersama keluarga masing-ma­sing yang diluangkan dengan sesi melepaskan rindu selain menjamu selera juadah hari raya.

Menurut Maria yang sudah tiga kali menjalani hukuman penjara akibat kesalahan sama, saat-saat yang paling dirindui ketika hari raya adalah juadah masakan ibunya seperti nasi himpit dan kuah kacang.

“Insya-Allah tahun depan saya akan keluar dan saya berjanji untuk jalani hidup sebaik mungkin dan tidak lagi terjebak dengan dadah.

“Saya berjinak-jinak dengan ekstasi sejak umur 19 tahun untuk berseronok semata-mata dan kerana dadah ini jugalah masa remaja saya rosak macam itu sahaja. Semua ini memakan diri. Saya harap remaja lain akan berfikir panjang sebelum terjebak dalam hal begini,” katanya.

Kata Maria yang meminati penyanyi Aina Abdul, dia juga berhasrat untuk meneruskan cita-cita menjadi seorang pe­nyanyi apabila dibebaskan.

Sementara itu, Pengarah Penjara negeri, Abdul Kadir Jailani Ismail berkata, program tersebut bertujuan memberi peluang kepada banduan dan anggota keluarga mereka meraikan hari raya bersama-sama walaupun di sebalik tirai besi.

“Ini juga membuktikan bahawa banduan-banduan ini masih mempunyai anggota keluarga yang menyayangi mereka walaupun di sebalik kesalahan yang mereka lakukan.

“Itu matlamat yang utama, diharapkan dengan sokongan keluarga itu akan menginsafkan mereka (banduan) supaya tidak mengulangi kesalahan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN