E-seal, pantau pergerakan logistik kontena, banteras seludup

E-seal, pantau pergerakan logistik kontena, banteras seludup

AHMAD Maslan bersalaman dengan pegawai tertinggi JKDM ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat JKDM Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang dalam proses mengkaji dan menguji keberkesanan penggunaan teknologi peranti baharu, e-seal bagi memantau pergerakan logistik kontena dan lori-lori perdagangan sekali gus membanteras aktiviti penyeludupan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, teknologi peranti yang dibangunkan oleh kepakaran tempatan itu akan menggantikan penggunaan sil timah (lead seal) yang digunakan selama ini di setiap kontena.

Menurut beliau, peranti berkenaan diguna pakai secara meluas di negara-negara Afrika Timur seperti Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi dan Congo.

“Pelaksanaan e-seal di negara-negara tersebut meningkatkan kutipan cukai mereka sebanyak 20 peratus dan kita harap dengan penggunaan teknologi baharu itu di negara ini, pungutan hasil negara juga akan bertambah 20 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sekiranya JKDM melaksanakan penggunaan e-seal, ia bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan, malah meningkatkan kebolehkesanan pergerakan kontena dan lori.

Jelasnya, teknologi berkenaan juga dapat memastikan barangan dagangan dapat tiba ke destinasi tepat pada masanya selain maklumat pergerakan dapat dipantau oleh pusat kawalan.

“Sebagai contoh kalau kontena tersebut dari Pelabuhan Klang menuju ke Bukit Kayu Hitam dengan membawa barangan yang telah diisytiharkan, tetapi mereka singgah di satu lokasi selama dua jam dan ganti barangan tersebut.

“Tiada cara untuk kita ketahui bahawa kontena berkenaan sudah berhenti selama dua jam dan menukar barangan di dalamnya. Jadi, dengan penggunaan e-seal ini kita dapat ‘track’ pergerakan kontena dan sekiranya mereka berhenti terlalu lama ada pegawai bertugas yang akan segera ke lokasi tersebut,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan teknologi tersebut, Ahmad memaklumkan, projek ‘pilot’ membabitkan beberapa syarikat di Gelang Patah, Johor sudah dijalankan untuk tempoh beberapa minggu bagi melihat pergerakan transaksi.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad berkata, sejumlah 2,410.224 kilogram (kg) dadah bernilai RM81.39 juta dirampas bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Selain itu, katanya, sebanyak 100 kes cubaan penyeludupan barangan bersubsidi seperti diesel, petrol, minyak masak dan gula berjaya ditumpaskan pada tahun 2022 dengan nilai rampasan RM573,688.

“Untuk tahun ini, sehingga bulan April sebanyak 48 kes penyeludupan berjaya dipatahkan dengan nilai rampasan berjumlah RM432,659,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN