Duti eksais: Hanya 10 pengilang cecair vape bernikotin berdaftar

Duti eksais: Hanya 10 pengilang cecair vape bernikotin berdaftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengesan pengilang cecair vape mengandungi nikotin yang tidak berdaftar susulan pelaksanaan duti eksais berkuat kuasa 1 April lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, setakat ini sebanyak 10 syarikat pengilang yang berdaftar de­ngan pihaknya dalam tempoh diberikan sehingga 30 April lalu.

Beliau berkata, kesemua itu melibatkan tujuh pemohon le­sen baharu vape bernikotin dan tiga lagi pelesen yang memohon bagi menambah produk me­ngandungi bahan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendaftaran kurang membe­rangsangkan kerana kebanyakan cecair atau gel bernikotin di negara ini diimport dari luar negara.

“Terutamanya vape atau ro­kok elektronik pakai buang dan bukan dihasilkan dari kilang tempatan,” katanya ketika dihu­bungi di sini semalam.

Berkuat kuasa 1 April lalu, melalui pewartaan Perintah Du­ti Eksais (Pindaan) 2023, duti eksais akan dikenakan pada RM0.40 sen bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Dalam pembentangan Bajet 2024 pada 24 Februari lalu, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik serta vape.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan ber­kata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengurangkan penggunaan vape.

“Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape.

“Kerajaan menyokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) dan bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan termasuk kempen anti rokok dan anti arak yang berkesan,” katanya.

Tambah Zazuli, pihaknya akan melaksanakan pemantau­an dan pemeriksaan terhadap pengilang cecair vape bernikotin, pengimport vape bagi memastikan mereka mengikrar di dalam penyata dan borang kastam dengan betul.

“Justeru, kita meminta jika ada mana-mana syarikat yang belum mendaftar tampil kepada pihak Kastam sebelum tindakan selanjutnya diambil,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini