Dulu hanya tengok dari jauh, kini sepentas -Ernie Zakri - Utusan Malaysia

Dulu hanya tengok dari jauh, kini sepentas -Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Macam mimpi,”

Demikian kata penyanyi Ernie Zakri, 30, apabila impiannya untuk bernyanyi bersama idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, termakbul semasa konsert malam tadi. 

Ernie menyifatkan pengalamannya diundang menjadi salah seorang penyanyi untuk Konsert Satu Suara Volume 3 adalah momen yang sukar dilupakan.

“Waktu tahun 2009, saya tengok sahaja Kak Iti (panggilan Ernie untuk Siti) buat persembahan dari jauh. 

“Saya sangat terinspirasi dengan beliau dan perasaan ‘wow’ itu masih kuat sehingga hari ini. 

“Beranganlah selagi boleh. Saya suka berangan dan hari ini anda semua menyaksikan impian saya (bernyanyi bersama-sama Siti) sedang termakbul,” katanya semasa Konsert Satu Suara Volume 3 di Plaza Sungei Wang, malam tadi.

Paling mencuri tumpuan malam tadi ialah persembahan penuh penghayatan mereka menyanyikan lagu Wajah Kekasih dan Gundah.

Menurut Ernie, sebelum ini, dia pernah memberikan beberapa cadangan lagu untuk dinyanyikan bersama. Namun Siti datang dengan idea yang lebih bernas memilih lagu Wajah Kekasih sebagai lagu duet.  

Kami ada satu kumpulan Whatsapp untuk beri cadangan lagu-lagu yang bakal kami bawakan.

“Saya bagi cadangan menyanyikan lagu kesukaan saya seperti Biarlah Rahsia dan Azimat Cinta. Tapi Kak Iti cadangkan lagu Wajah Kekasih. Saya gementar kerana lagu itu sebenarnya susah untuk dinyanyikan. 

“Selepas itu saya ajak pula Kak Iti nyanyi lagu Gundah sebab sebelum ini saya pernah dengar dia humming lagu tersebut,” ceritanya panjang lebar kepada Utusan Malaysia.

Siapa sangka di sebalik persembahan penuh bertenaga malam tadi, Ernie sebenarnya sedang mengalami sakit tekak menyebabkan suaranya hilang beberapa jam sebelum konsert bermula.

“Sebenarnya dalam tiga hari ini tekak saya sudah rasa tak selesa. Siang tadi suara saya terus hilang. Jadi, saya terus dapatkan suntikan. Alhamdulillah malam ini keluar juga suara saya. 

“Lagipula saya ada Kak Iti dan abang Jay Jay yang tidak putus-putus memberi semangat dan menasihati apa yang patut kepada saya,” katanya. 

Terdahulu, konsert Satu Suara Volume Tiga menampilkan tiga penyanyi handalan iaitu Ernie Zakri, Jay Jay dan Siti Nurhaliza dan dihadiri kira-kira 4,000 pengunjung.

Konsert tersebut merupakan usaha yang dilakukan Yayasan Nurjiwa bagi mendapatkan dana bantuan membiayai sekolah buat anak-anak Palestin di Gaza. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN