Doa dimakbul, pesara guru dan empat anak tunai haji bersama

Doa dimakbul, pesara guru dan empat anak tunai haji bersama

SARKAWI Banjar (tengah), Siti Rodiah Mardi (kanan) dan Shahaniza mengemas barangan kelengkapan bagi menunaikan haji di rumah mereka di Kampung Parit Marjunid, Benut, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Hasrat dan doa sepasang suami isteri untuk membawa anak-anak mereka menunaikan ibadah haji dimakbulkan tahun ini.

Sambil melafazkan kesyukuran, pasangan pesara guru, Sarkawi Banjar, 68, dan Siti Rodiah Mardi, 67, tidak menyangka berpeluang sekali lagi menunaikan rukun Islam kelima itu bagi kali kedua, malah kali ini lebih istimewa kerana ditemani anak-anak mereka.

Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya apabila seorang daripada lima anak mereka dijemput Ilahi lebih awal iaitu meninggal dunia pada tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sarkawi, bekas guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekawan Desa di sini berkata, hasrat membawa semua anak mereka, iaitu empat yang bertugas sebagai guru dan seorang anggota polis menunaikan haji disuarakan sekembali mereka dari Tanah Suci pada 2006.

“Kelima-lima anak iaitu Shahaniza, 42; Salehudin, 40; Sirajudin, 35; Shahrulail, 34, dan Siti Halimah, 26, membuat pendaftaran menunaikan haji. Namun, hajat Shahrulail tidak kesampaian kerana meninggal dunia pada tahun lalu ketika bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bunyi, Pontian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Marjunid, Benut, dekat sini.

Walaupun Allahyarham Shahrulail tidak dapat bersama-sama ke Tanah Suci, mereka membuat badal haji untuknya yang diuruskan oleh sebuah syarikat swasta dengan bayaran RM2,400.

Sementara itu, Siti Rodiah, bekas guru kanan di SK Ayer Baloi berkata, mereka menerima tawaran menunaikan fardu haji daripada pihak Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi emel pada 3 Mei lalu.

“Ketika permohonan dibuat pada 2008, anak bongsu, Siti Halimah berusia 11 tahun dan selepas 15 tahun menanti, akhirnya hasrat kami tertunai juga,” katanya.

Memandangkan dia dan suaminya menunaikan haji bagi kali kedua, mereka dikenakan bayaran RM30,850 setiap seorang, manakala anak-anaknya pada kadar biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×