LIPIS: Seorang wanita, Haslina Yusof@Yatim, 46, berdepan ujian cukup besar dalam dirinya apabila menderita penyakit tiga serangkai, kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi sehingga mengalami gangguan penglihatan di kedua-dua belah matanya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Haslina yang tinggal di Rumah Rakyat Pahang (RRP) Bukit Tepus, Kampung Chegar Perah di sini berkata, penyakit kencing manis dan darah tinggi dihidapinya sejak berusia 25 tahun.
Katanya, kegagalan buah pinggangnya dikesan sejak sembilan tahun lalu dan sehingga kini dia menjalani dialisis tiga kali seminggu di Hospital Lipis.
“Kencing manis yang semakin kronik menyebabkan kaki kanan saya dipotong lima tahun lalu dan sehingga kini kali kedua menerima rawatan yang sama sehingga ke paras paha,” katanya di RRP Bukit Tepus, di sini semalam.
Dia turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang mewakili kerajaan negeri menyampaikan cek bantuan perubatan dan kebajikan RM15,000.
\Dia tinggal bersama suaminya, Romli Mat Kasim, 52, mempunyai dua orang anak lelaki berusia 15 tahun masih belajar di sebuah sekolah menengah, manakala seorang lagi berusia 20 tahun sedang mengikuti pengajian di Politeknik Dungun, Terengganu.
Cerita Haslina lagi, akibat penyakit kencing manis kronik dihidapinya, kedua-dua belah matanya mengalami gangguan penglihatan, cuma mata kiri sahaja masih dapat melihat objek tetapi dalam keadaan samar.
“Ketika ini saya cukup tertekan setiap kali hendak berulang alik ke Hospital Lipis menjalani rawatan dialisis seminggu tiga kali termasuk pemeriksaan dan mengambil ubat kencing manis dan darah tinggi juga di hospital yang sama.
“Semua urusan pengangkutan dan belanja berulang alik ke hospital, makan-minum, kebersihan diri dan ketika ke bilik air diangkat oleh suami saya. Apapun, saya tetap reda dengan ujian Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, Romli berkata, dia menerima bantuan penjagaan orang kurang upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM500 dan sumbangan zakat barang keperluan dapur daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).
“Saya cuma bekerja kampung hanya berpendapatan tidak seberapa dan digunakan untuk keperluan persekolahan serta pengajian kedua anak lelaki serta berulang alik membawa isteri ke hospital.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana memberikan bantuan rumah baharu di bawah projek RRP yang kami duduki dua bulan lalu kerana sebelum ini tinggal di Perumahan Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) di sini,” katanya.
Orang ramai serta dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Haslina menerusi talian 0194312786 atau terus ke akaun Bank Islam bernombor 03063020159443 (Haslina Yusof@Yatim).-utusan










