WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis berkata, perjanjian nuklear dengan Arab Saudi bergantung kepada kesediaan kerajaan itu mengiktiraf Israel.
Syarat baharu yang diumumkan itu dilihat bercanggah dengan pendirian lama Riyadh yang enggan menyertai Perjanjian Abraham bersama Israel selagi tiada laluan yang jelas ke arah penubuhan sebuah negara Palestin.
Namun, syarat tersebut tidak disebut dalam perjanjian nuklear awam yang diumumkan pada Rabu. Sebelum ini, ia dilihat sebagai satu kemenangan besar bagi Arab Saudi ketika Trump meneruskan tekanan terhadap Iran berhubung program nuklearnya.
Bagaimanapun,Trump mengejutkan pihak Arab Saudi apabila menulis di platform media sosial Truth Social bahawa perjanjian itu akan diluluskan, tetapi tertakluk sepenuhnya kepada penyertaan Arab Saudi dalam Perjanjian Abraham yang sangat dihormati dan berjaya.
Rumah Putih menegaskan bahawa Trump sebelum ini telah memaklumkan kepada Arab Saudi bahawa perjanjian tersebut bergantung kepada pengiktirafan terhadap Israel.
“Presiden sentiasa menjadi pihak yang membuat keputusan muktamad dalam setiap rundingan. Beliau telah menyatakan bahawa jika mereka tidak menyertai Perjanjian Abraham, maka perjanjian itu akan dibatalkan,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, kepada pemberita.
Setakat ini, belum ada reaksi rasmi daripada Riyadh.
Jika dilaksanakan, perjanjian untuk membangunkan program tenaga nuklear awam di Arab Saudi dijangka menjana pendapatan berbilion dolar kepada syarikat-syarikat Amerika. – AFP
Amerika menjadi pengantara Perjanjian Abraham semasa penggal pertama Trump sebagai presiden, dengan tujuan membina hubungan antara Israel dan dunia Arab.
Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi merupakan negara yang menandatangani perjanjian tersebut, sekali gus mewujudkan hubungan diplomatik, ekonomi serta keselamatan dengan Israel.
Negara keempat, Sudan, masih belum memformalkan hubungan tersebut. – AFP










