ALOR SETAR: Penggunaan elektrik dalam kalangan pengguna di negeri ini meningkat sejak beberapa bulan lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan cuaca panas yang melanda negara.
Pengurus Besar Negeri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah dan Perlis, Wan Ishak Soed berkata, peningkatan penggunaan elektrik terutama dalam segmen domestik di negeri ini dilihat meningkat sejak Januari lalu.
Kata beliau, trend peningkatan itu terus menampakkan peningkatan ketara dari Februari ke Mac dan berterusan hingga April.
“Bersandarkan data yang ada dengan pihak kami, terdapat peningkatan antara 15 hingga 20 peratus penggunaan elektrik di negeri ini pada April berbanding Januari.
“Peningkatan ini dipercayai ada kaitan dengan cuaca panas yang menyebabkan penggunaan alatan elektrik terutama pendingin hawa meningkat tanpa mengira waktu. Malah saya dimaklumkan pembelian barangan elektrik khususnya penyaman udara turut meningkat ketika ini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Wan Ishak berkata, peningkatan penggunaan elektrik di Kedah didapati selari dengan pertambahan penggunaan elektrik di semenanjung tanah air.
“Dalam mendepani keadaan ini, TNB menguar-uarkan beberapa tindakan yang boleh diambil pengguna sebagai langkah penjimatan. Antaranya tetapkan suhu pendingin hawa ke 24 darjah celcius dan tutup pintu serta tingkap bilik dengan rapat.
“Dalam masa sama, pengguna disarankan memiliki alatan elektrik berlabel cekap tenaga yang diklasifikasikan empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya. – UTUSAN











