KUALA TERENGGANU: Dua bot ambulans baharu bernilai RM1.4 juta disediakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Pulau Perhentian dan Pulau Redang dekat sini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, kemudahan itu disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) ekoran bot sedia ada sudah agak lama dan sering rosak.
Katanya, bot ambulans tersebut dibina mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Laut dan dilengkapi peralatan keselamatan termasuk alat penerima Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), radio VHF dan kompas magnetik.
“Sebelum ini, bot ambulans sedia ada yang bersaiz kecil tidak sesuai digunakan untuk membawa pesakit meredah gelombang besar terutama sepanjang musim Monsun Timur Laut.
“Dalam sesetengah kes, bantuan dari agensi penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia diperlukan untuk melakukan pelayaran ihsan sekiranya terdapat kes-kes kecemasan sepanjang musim tengkujuh,” katanya selepas Majlis Perasmian Bot Ambulans Klinik Kesihatan Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Jeti Duyong Marina di sini, semalam.
Ketika ini, klinik kesihatan di dua pulau peranginan itu mampu mengendalikan kes rawatan kesihatan dan kecemasan ringan seperti penyakit demam selesema biasa atau cirit birit ringan.
Bagaimanapun, bagi kes rawatan susulan seperti sawan, serangan jantung atau kecemasan yang lain, pesakit dari pulau itu perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital berdekatan sama ada di Hospital Besut atau Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Lukanisman berkata, perkhidmatan bot ambulans bukan sahaja diperlukan penduduk tempatan tetapi untuk memindahkan pelancong yang memerlukan rawatan di hospital.
“Purata kekerapan bilangan pergerakan pergi dan balik bot ambulans di dua pulau tersebut sebanyak 10 hingga 20 kali sebulan,” katanya.
habis. – UTUSAN











